Sheikh Muhammad Taslim lima pelumba BMX terbaik Asia
JAGUH BMX negara Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff mencipta sejarah tersendiri apabila muncul lima pelumba terbaik Asia di Kejohanan Berbasikal Dunia 2023 di Glasgow, Scotland.
Pencapaian itu dilakar selepas beliau yang bersaing dalam acara BMX Freestyle Flatland menamatkan saingan pusingan kelayakan dengan mengumpul keseluruhan 60.33 mata untuk berada pada kedudukan ke-25 daripada keseluruhan 36 peserta.
Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai Botak gagal ke pusingan seterusnya apabila hanya 16 pelumba terbaik layak ke separuh akhir.
“Ini kali pertama saya diberi peluang beraksi di kejohanan dunia, ia satu pencapaian yang sangat hebat. Saya bangga kerana menduduki tempat ke-25 dan merupakan pelumba kelima terbaik Asia dengan empat pelumba Jepun berada di depan.
“Peluang beraksi bersama pelumba terbaik dunia dan Asia memberi satu dimensi baharu kepada bentuk persembahan saya pada masa depan,” kata atlet berusia 32 tahun itu dalam kenyataan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada Khamis.
Botak berazam memperbaiki persembahannya jika diberi kepercayaan untuk beraksi di kejohanan besar selepas ini termasuk Sukan Asia Hangzhou 2022 yang akan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober ini.
Sebelum ini, Botak muncul juara sulung BMX Freestyle Flatland lelaki pada Kejohanan Kebangsaan BMX Freestyle 2023 di sini, Jun lalu.
Sementara itu, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab memuji usaha individu tertentu untuk mengharumkan nama Malaysia dalam acara itu.
“Harapan saya kem Sheikh Muhammad Taslim terus berusaha untuk menyertai kejohanan besar dan bawa pulang pingat. PKBM akan sentiasa membantu kem Sheikh Muhammad Taslim,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!