Perak nekad noktahkan kemiskinan
IPOH - Kerajaan Perak membuktikan keseriusan menangani kemiskinan tegar apabila menjadi negeri pertama yang melaksanakan Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan.
Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Shamshuzaman Sulaiman berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai menyahut hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menoktahkan kemiskinan semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.
Menurutnya, sehingga 31 Julai 2023 jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di negeri Perak menurun sebanyak 30 peratus kepada 6,617 KIR hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) bersama-sama kerajaan negeri Perak.
"Usaha membasmi kemiskinan di seluruh negara telah dimulakan pada tahun 2021 dan menjadi salah satu agenda di bawah RMK12 (Rancangan Malaysia ke-12).
"Pelbagai usaha dilakukan termasuk pemutihan oleh PPN Perak, pemantauan di dalam Mesyuarat Focus Group Negeri dan Daerah serta program-program bantuan oleh agensi pemberi bantuan persekutuan dan negeri," katanya menerusi kenyataan media selepas Majlis Penutupan Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri Perak di Dewan Bankuet Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini pada Khamis.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak, Halizah Sipun.
Sementara itu, Shamshuzaman berkata, bengkel yang berlangsung selama dua hari itu disertai 125 orang peserta dari 53 jabatan dan agensi terdiri daripada pegawai-pegawai di pentadbiran daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi-agensi pemberi bantuan persekutuan dan negeri.
Katanya, bengkel tersebut juga bertujuan menyediakan satu pelan tindakan yang komprehensif meliputi strategi, kaedah dan gerak kerja yang terlibat.
Beliau berkata, ia juga akan digunakan sebagai rujukan dan panduan kepada pentadbiran daerah, PBT, serta agensi pemberi bantuan dalam merangka mekanisme pembasmian kemiskinan yang bersesuaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!