Ibu mahu Danni kekal kempen secara berhemah

Maznah (dua dari kanan) turut turun padang membantu anaknya, Danni berkempen.
Maznah (dua dari kanan) turut turun padang membantu anaknya, Danni berkempen.
A
A
A

JELEBU - Ibu kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Puan Sri Maznah Rais mahu anaknya, Danni Rais mengekalkan kempen pada pilihan raya negeri (PRN) secara berhemah.

Menurutnya, ia merupakan perkara utama yang perlu diambil perhatian selain anaknya itu dianggap antara calon muda yang ditampilkan oleh gabungan parti itu kali ini.

Maznah berkata, beliau juga mahu Danni teruskan sifat-sifat terpuji sebagai seorang anak dan pemimpin, walaupun dianggap sangat muda tetapi seorang yang matang.

"Kalau ada yang membuat provokasi atau yang kasar sikit tetap layan dengan baik, itu cara kempen yang saya galakkan.

"Sikap hormat itu yang paling saya tekankan, hormat pada pengundi dan masyarakat. Tidak guna ada kelulusan, pelajaran dan kedudukan tinggi tetapi kalau tidak ada budi bahasa, tidak ada budi pekerti baik," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dalam pada itu, Maznah yakin anaknya itu mampu mengalas tanggungjawab sebaiknya sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada 12 Ogos ini.

"Empat orang anak saya semua pun minat politik berikutan sudah biasa melihat ayahdanya (Tan Sri Dr Rais Yatim), dan Danni ini lebih menyerlah (politik) sebab Danni sebagai seorang peguam sudah biasa bergaul dengan komuniti," katanya.

Pada PRN ini, Danni bertembung dengan sepupunya iaitu penyandang kerusi berkenaan dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Bakri Sawir yang merupakan anak saudara Rais.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bakri yang pertama kali bertanding menang dengan mendapat 4,296 undian ketika menentang Baharuddin Jali daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 3,320 undi dengan majoriti undi sebanyak 976.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Danni yang juga anak kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengakui perlu bekerja lebih kuat pada PRN ini untuk meraih undi walaupun bapanya itu bukanlah asing dalam dunia politik.

Malah Danni juga tidak menafikan populariti bapanya itu turut membantunya, namun tidak kurang juga yang membandingkan keupayaannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!