PRN Kedah: Pengundi luar jadi penentu kemenangan - Penganalisis
SUNGAI PETANI - Pengundi luar yang secara puratanya menyumbang 30 peratus kepada jumlah pengundi di sesuatu kawasan, dijangka mampu menjadi penentu keputusan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Sabtu ini.
Penganalisis politik di Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, pengundi luar, yang terdiri daripada golongan muda atau pertengahan umur yang bekerja, memiliki pemikiran yang kritikal dalam membuat keputusan.
"Jumlah ini besar sebenarnya. Jadi apabila mereka balik mengundi, mereka akan menyumbang kemenangan kepada parti yang mereka sokong. Mereka merupakan penentu kepada kemenangan parti yang bertanding,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Mazlan berkata, wujud situasi pengundi luar juga dilihat sedikit berkira untuk pulang mengundi, dengan mengambil kira komitmen kerja dan kos untuk pulang ke kampung halaman, bagi menunaikan tanggungjawab itu.
"Soal nak undi mana-mana itu terpulang, memandangkan ini negara demokrasi kecuali kalau ada perkara-perkara yang tak dapat nak elak. Sudah tentu akan menjadi kerugian besar jika mereka ini tidak menggunakan peluang ini, untuk memilih pemimpin mereka bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Dalam pada itu seorang pengundi Kedah yang kini menetap di ibu negara, Fariza Fazil, 33, berkata beliau telah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Langkawi, sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Ya saya akan pulang untuk mengundi 12 Ogos nanti. Hari SPR umum tarikh itu juga saya terus tempah tiket untuk balik ke Langkawi, semata-mata untuk mengundi,” katanya.
Fariza berkata, beliau berbuat demikian, untuk memastikan pemimpin yang amanah dapat diangkat sebagai mewakili rakyat di kawasan kampung halamannya.
Sementara itu pekerja sektor swasta, Nur Aqira Farahida Azemi, 27, pula berkata, beliau teruja untuk pulang menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi, di DUN Ayer Hangat di Langkawi.
"Tanggungjawab itu sudah tentu. Kita penentu masa depan negara walaupun parti yang kita pilih menang atau kalah, itu tolak tepi,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.
Sementara itu calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Tanjong Dawai, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yakin, pengundi luar kali ini sangat rasional dan memahami situasi yang sedang berlaku di Kedah, serta berharap pembaharuan Kerajaan Perpaduan dinilai dengan baik dan berkesan.
"Mereka (pengundi luar) kena fikir kerajaan mana yang selayaknya membangunkan dan memajukan kawasan yang dia mengundi. Pengundi luar juga bertanggungjawab melihat kepada parti mana yang sebenarnya lebih banyak membantu rakyat, berbanding parti yang lebih banyak berpolitik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. - Bernama
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!