'Saya tukar parti demi tuntutan rakyat’ - Harrison

Harrison ketika program Sinar Live khas PRN bertajuk ‘Kontroversi tak halang hasrat memenangi hati rakyat’ pada Khamis.
Harrison ketika program Sinar Live khas PRN bertajuk ‘Kontroversi tak halang hasrat memenangi hati rakyat’ pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan mengakui menerima pelbagai bentuk kecaman susulan pemecatannya sebagai ahli UMNO sebaik sahaja diumum bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) mewakili PN.

Menurut Harrison, biarpun dilabel sebagai pengkhianat, namun beliau yakin keputusannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah demi tuntutan rakyat yang mahukan perubahan politik.

“Saya berjuang kerana saya ikhlas, tidak ada apa-apa paksaan atau tekanan. Saya tidak mengikut mana-mana idola yang saya harus dipaksa ikut.

“Saya berjuang atas diri sendiri dan saya merasakan pada ketika ini rakyat mahukan pembaharuan dan UMNO atau Barisan Nasional (BN) mungkin masih lagi berada ditakuk lama.

“Tidak sesuai dengan tuntutan rakyat sekarang ini, jadi saya akur dan berhijrah ke parti yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Sinar Live khas PRN bertajuk ‘Kontroversi tak halang hasrat memenangi hati rakyat’ yang dihoskan oleh Asraf Awaluddin pada Khamis.

Pada 28 Julai, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Harrison digugurkan selepas beliau diumumkan sebagai calon mewakili PN.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, pengguguran keahlian secara automatik itu selaras dengan perlembagaan dan peraturan Lembaga Disiplin parti.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ujar Harrison, berdasarkan pengalamannya dalam bidang politik selama lebih 20 tahun, tuntutan rakyat terhadap parti politik tidak sama dibandingkan dengan pilihan raya terdahulu.

“Apakah persepsi atau stigma rakyat terhadap parti politik, hanya tahu berjanji, tahu cakap tapi tak serupa bikin.

“Jadi pada saya ini perkara-perkara yang harus berubah. Mungkin bukan semua tapi sebilangan besar pemimpin atau ahli-ahli UMNO masih berada di tahap itu dan saya sebagai individu, saya inginkan perubahan.

“Saya nak bawa perubahan supaya rakyat tahu bahawa ada juga ahli politik yang akan berubah mengikut tuntutan rakyat,” katanya.

Pada PRN Selangor, Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang calon BN, Datuk Jahaya Ibrahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!