Penyanyi popular dedikasi 'Keranamu' buat Anwar

Tangkap layar video Keranamu dimuat naik pada Rabu.
Tangkap layar video Keranamu dimuat naik pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan penyanyi popular mendedikasikan sebuah lagu berjudul 'Keranamu' khusus buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-76 pada Khamis.

Perkara itu dikongsikan penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, yang mempromosi klip video berdurasi tiga minit 22 saat itu dengan menampilkan MK K-Clique, Sufian Suhaimi, Yonnyboii, Meerfly dan Dani Kurama menerusi hantaran di Instagramnya.

Caprice menzahirkan harapan supaya pentadbiran dipimpin Anwar pada kali ini dapat membantu rakyat dan negara demi masa depan yang lebih baik.

“Kami berharap anda (Anwar) dapat mengubah negara ini kerana saya sendiri dan juga rakyat letih dengan situasi politik baru-baru ini, kami mahukan kehidupan serta masa depan yang baik untuk anak-anak.

“Kalau hari-hari berpolitik, Malaysia tidak akan ke mana-mana, Insya-ALLAH kita semua keluar mengundi dalam enam negeri,” katanya.

Caprice juga memuat naik video tersebut di saluran Youtubenya pada Rabu dengan menulis kapsyen ‘Dari penjara ke Putrajaya. Ini kisah Perdana Menteri Malaysia ke-10 #KEKAL5TAHUN’.

Video dengan bait lirik korus ‘selagi ku bernyawa, ku perjuangkan segalanya keranamu’ memaparkan permulaan Anwar ketika memberikan ucapan ceramah Perpaduan bersempena kempen pilihan raya negeri (PRN) enam negeri baru-baru ini.

Selain itu, disertakan juga pelbagai rakaman peristiwa lama membabitkan Anwar baik sewaktu penahanannya tiga dekad lalu, prosiding di mahkamah, era Reformasi sehingga ke majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022 lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!