Malaysian Tigers mentaliti baharu berdepan Korea Selatan

Malaysian Tigers akan berdepan Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat.- Foto Agensi
Malaysian Tigers akan berdepan Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat.- Foto Agensi
A
A
A

SKUAD hoki negara dituntut tampil dengan mentaliti baharu apabila sekali lagi berdepan Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat.

Malah menurut pengendali The Malaysian Tigers, Arul Selvaraj, pasukan yang berada di ranking kesembilan dunia itu perlu segera melupakan kemenangan 1-0 ke atas pasukan ranking ke-10 dunia semasa saingan liga sepusingan sebelum ini.

Sebaliknya tegas Arul, para pemain negara perlu tampil dengan karakter lebih meyakinkan kerana pasukan lawan dijangka lebih agresif dalam saingan kalah mati.

“Ya, kita kena guna pendekatan mentaliti yang berbeza apabila berdepan Korea Selatan di fasa separuh akhir berbanding ketika mengalahkan pasukan sama dalam saingan liga sepusingan sebelum ini.

“Sebabnya Korea Selatan yang tewas sebelum ini pastinya akan redeem semula pada Jumaat ini, jadi kita tidak boleh tampil gaya permainan was-was dengan tekanan mempertahankan satu lagi kemenangan.

“Sebaliknya kita kena tampil dalam perlawanan ini dengan tahap keyakinan lebih tinggi yang kita pernah mengalahkan pasukan Korea Selatan, dan akan mengalahkan pasukan sama sekali lagi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Malaysian Tigers meneruskan persembahan bertenaga dalam Kejuaraan Trofi Liga Juara-Juara Asia apabila menewaskan Korea Selatan, 1-0 pada Rabu.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira Malaysian Tigers apabila meledak gol padang pada minit ke-22 untuk jaringan tunggal perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigers mengakhiri saingan di kedudukan kedua dengan mengumpul 12 mata selepas lima perlawanan - menang ke atas Pakistan (3-1), China (5-1), Jepun (3-1) dan Korea Selatan (1-0) manakala tewas 0-5 kepada India.

India menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan 13 mata - empat menang, satu seri, Korea Selatan ketiga (lima mata) diikuti Jepun (lima mata).

Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia anjuran Persekutuan Hoki Asia disertai enam pasukan hoki terbaik Asia, Korea Selatan, Pakistan, India, Malaysia, Jepun dan China.

Kejuaraan berprestij hoki benua Asia itu juga merupakan pentas persiapan aksi kompetitif terbaik untuk Malaysian Tigers sebelum menyingkap cabaran temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, September depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!