'Mesin gol' JDT rakus cipta jaringan
PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melangkah jauh meninggalkan pencabar lain selepas melakar kemenangan ke-19 apabila membelasah Sabah FC, 5-1 pada Rabu.
Rentak kemenangan Harimau Selatan, kendalian Esteban Solari musim ini seolah-olah sukar disekat selepas meleburkan rekod tanpa kalah The Rhinos di Stadium Likas.
Kemenangan itu juga mengekalkan rekod cemerlang JDT yang menewaskan Sabah 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan pertama pada April lalu.
Kemenangan tanpa henti Harimau Selatan turut dibarakan dengan kesempurnaan jentera gol juara sembilan kali berturut-turut yang meledak 74 gol.
Kuasa bola sepak dari selatan tanah air itu sebelum ini telah memintas rekod 64 gol milik Selangor yang dicatatkan pada saingan musim 2009.
Rekod itu tercipta selepas anak buah Solari membelasah Kelantan FC, 5-0 dalam perlawanan liga di Stadium Sultan Muhammad IV, 14 Julai lalu.
Lebih menarik, rekod milik Gergasi Merah dipintas selepas juara Piala FA itu mengharungi 17 perlawanan liga apabila meledak 67 gol. Angka tersebut meningkat dengan kemenangan besar ke atas anak buah Datuk Ong Kim Swee yang sebelum itu cukup kebal apabila mencatat 10 perlawanan tanpa kalah di Likas.
Malah, Harimau Selatan menjadi pasukan pertama liga musim ini merobek gawang The Rhinos di laman keramat kelab Kepulauan Borneo itu dengan lima gol selepas Kuching City (tiga gol). Tiga mata diraih ke atas Sabah juga menunjukkan peningkatan dalam statistik tempoh minit jaringan gol anak buah Solari musim ini.
Selepas 19 perlawanan liga bagi tempoh 15 minit pertama, Harimau Selatan yang memimpin liga dengan kelebihan 14 mata, kurang satu aksi mengatasi Selangor FC telah menjaringkan 12 gol.
Bagi minit 15 hingga ke-30 (15 gol), minit 31 hingga 45 (13 gol), minit 46 hingga 50 (17 gol), minit 51 hingga 75 (16 gol) dan minit 75 hingga ke-90 (20 gol). Ia secara tidak langsung menunjukkan jentera penyudah JDT lebih menyerlah dalam baki 25 minit terakhir perlawanan untuk merobek gawang lawan.
Paling menarik, setiap bahagian jentera juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu mampu meledakkan jaringan pada setiap musim. Musim ini sehingga perlawanan ke-19, bahagian pertahanan telah menyumbang sembilan gol, diikuti bahagian tengah 21 gol dan bahagian serangan menjaringkan 60 gol.
Persembahan berkualiti JDT juga menyaksikan tekanan diberikan anak buah Solari berjaya menghasilkan tiga gol, hasil jaringan sendiri pemain pasukan lawan.
Bagi senarai penjaring Harimau Selatan, penyerang dari Argentina, Fernando Forestieri memimpin pendahulu dengan 18 gol, sementara Bergson da Silva (17 gol) dan bintang muda tempatan sedang meningkat naik, Arif Aiman Hanapi turut ‘menyelit’ dalam kalangan pemain senior apabila meledak 10 gol.
Diikuti, Leandro Velázquez dan Diogo (tujuh gol), Juan Muniz (enam gol), Endrick dan Corbin Ong, masing-masing empat gol. Penyerang baharu JDT, Heberty Fernandes turut menyumbang empat gol walaupun baru beraksi bersama pasukan tersebut.
Turut tersenarai ialah Feroz Baharudin, Óscar Arribas dan Akhyar Rashid, masing-masing dua gol, diikuti Syahmi Safari, Jordi Amat, Safiq Rahim, Syafiq Ahmad, Nathaniel Shio Hong Wan, Nazmi Faiz serta Shahrul Saad, masing-masing satu gol.
Solari sebelum ini menyatakan skuad kendaliannya itu sentiasa teruja mencipta sesuatu yang baharu setiap musim dan ia dilihat dari sudut positif untuk perkembangan serta kemajuan kelab pada masa depan.
Jelas beliau, ia juga menjadi cabaran buat setiap pemain Harimau Selatan untuk berusaha meningkatkan prestasi permainan.
“JDT sentiasa berusaha memecahkan rekod. Tahniah kepada pemain yang sentiasa bersemangat memberikan terbaik untuk pasukan.
“Ya, kita akan terus memecahkan rekod kerana ia akan menjadi elemen penting kepada pemain untuk menampilkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan
“Idea bola sepak kita cukup mudah, sentiasa menjaringkan gol dan kita akan jaringkan lebih banyak lagi gol pada masa depan,” kata Solari.
Berbaki tujuh perlawanan liga, JDT dijangka tidak berdepan masalah mengekalkan rekod tanpa kalah, sekali gus memastikan kejuaraan liga kali ke-10 kekal di Stadium Sultan Ibrahim musim ini.
Tumpuan kini terarah kepada keghairahan armada Solari menjarah gawang gol pasukan lawan mereka.
Namun, dalam kalangan pencinta bola sepak tempatan pasti mahu melihat kehebatan Harimau Selatan menambah lagi baki 26 gol untuk melengkapkan 100 jaringan satu musim ketika menjulang sekali lagi kejuaraan Liga Super.
*Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!