[VIDEO] PN tak sedar dah masuk perangkap PH - Rafizi
SEREMBAN - Perikatan Nasional (PN) didakwa telah masuk ke dalam 'perangkap' Pakatan Harapan (PH) apabila Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman bersetuju untuk mengadakan debat.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, beliau sudah merancang lama perkara itu iaitu dari awal PH dan Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan.
"PN tak sedar yang dia sudah kena perangkap nak masuk pilihan raya ini kerana kemuncak perangkap itu ialah perdebatan," katanya ketika memberi ceramah pada program Jelajah Madani di Ampangan di sini pada Khamis.
Menurut Rafizi, beliau sengaja membiarkan gabungan itu berterusan mengkritik kerajaan kerana apabila tiba waktunya, beliau akan mengumumkan satu persatu apa yang akan dilakukan kerajaan.
"Kita lancar satu demi satu... Jadi biar dia nak maki hamun kata kerajaan tak buat apa atau tak tunai janji kerana bila masuk saja bulan Jun, kita mula umum satu demi satu.
"Ketika itu saya tahu pemimpin PN tahu yang mereka akan ada masalah kerana semua modal selama enam bulan ini tidak boleh digunakan lagi," katanya.
Rafizi berkata, beliau sudah menjangkakan tidak ada seorang pun pemimpin tertinggi gabungan berkenaan yang berani berdepan Kerajaan Perpaduan untuk membahaskan bagaimana untuk menambah kesejahteraan rakyat.
Malah beliau turut mengakui sengaja mempelawa Mohd Syahir yang disifatkan oleh Pas sebagai teknokrat yang paling cerdik dan beradab dalam parti itu untuk berdebat supaya rakyat boleh menilai.
Selain itu katanya, beliau mahu memberi ruang kepada rakyat untuk menilai pemimpin dan parti politik bagaimana yang boleh diharapkan menjadi kerajaan melalui program debat dianjurkan.
"Sebab itu saya jemput dia (Mohd Syahir) kerana saya nak tunjuk pada rakyat bahawa negara bukan berdepan antara PH-BN lawan PN dalam PRN ini, tapi sebenarnya berdepan satu kumpulan yang gunakan akal dan waras melawan kerajaan membodohkan rakyat untuk dia jadi kerajaan.
"Saya ingat lawan saya watak yang dikatakan paling cerdik, paling teknokrat, bakal Menteri Kewangan dari Pas ini buat persediaan yang lebih dari saya, paling kurang nak pergi berdebat bacalah dulu.
"Tapi apa dia buat? Dia datang bagi pantun," katanya.
Pada Rabu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dan Mohd Syahir telah berdebat mengenai hala tuju ekonomi negara melalui satu program debat khas.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!