Fokus pembangunan agrikultur kawasan kampung - Noorzunita

Noorzunita Begum
Noorzunita Begum
A
A
A

Calon Pakatan Harapan (PH), Noorzunita Begum Mohd Ibrahim merupakan muka baharu yang ditampilkan gabungan parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Kerusi berkenaan sebelum ini disandang oleh Mohamad Nazaruddin Sabtu merangkap bekas Exco Kesenian, Kebudayaan Dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, NORAFIDAH ASSAN bersama Noorzunita Begum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan diadakan serentak dengan lima lagi negeri pada 12 Ogos ini.

SH: Diberi kepercayaan untuk bertanding di DUN Pilah dan merupakan muka baharu, bagaimana puan berdepan dengannya?

Noorzunita Begum: Antara cabarannya adalah pengundi lebih nak berjumpa dengan pemimpin dan calon sebab sebelum ini seperti kita sedia maklum keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah tidak sihat tetapi kita teruskan berkempen di lapangan berjumpa dan menyantuni pengundi.

Pengundi di kawasan kampung lebih suka melihat, bersemuka bersama calon jadi saya turunlah ke lapangn masuk ke kampung-kampung, supaya mereka lebih kenal dengan calon, mengetahui misi dan visi yang kita bawakan dalam Kerajaan Perpaduan.

SH: Apa yang akan ditambah baik di DUN Pilah ini memandangkan ketika ini juga Pilah semakin rancak membangun dan berlaku banyak perubahan berbanding sebelum ini.

Noorzunita Begum: Seperti sedia maklum DUN Pilah ini pesat membangun dan saya mahu menambah baik dalam sektor agrikultur iaitu penternakan dan pertanian yang menekankan usahawan di kampung-kampung, dan ia antara suara pengundi yang saya temui sepanjang kempen di sini.

Artikel Berkaitan:

SH: Bagi pandangan puan kenapa ia berlaku?

Noorzunita Begum: Sebab mungkin nampak ia terpencil sedikit tidak di komersialkan contohnya ada yang menanam cili banyak, sektor pertanian perlu dibangunkan, ditambah baik untuk komuniti kampung sekali gus berupaya menjadi usahawan yang berjaya.

Itu antara fokus saya sekiranya di beri mandat, saya lebih kepada itu dan tidak dinafikan pembangunan di sini sangat baik di bawah pimpinan PH sebelum ini.

SH: Apa manifesto khusus puan di DUN Kuala Pilah?

Noorzunita Begum: Sudah tentu manisfesto saya selari dengan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan dan paling utama adalah kebajikan penduduk selain pemimpin yang sering turun padang mendengar permasalahan daripada masyarakat setempat dan sentiasa dekat dengan komuniti.

SH: Setakat ini kempen bagaimana dan adakah PH mampu kekal di DUN Pilah.

Noorzunita Begum: Saya melihat pengundi boleh menerima Kerajaan Perpaduan tetapi untuk diterjemahkan kita menunggu 12 Ogos, tetapi saya percaya kita boleh kekalkan kerusi DUN Pilah kerana ia berdasarkan pembangunan dan rekod baik yang ditunjukkan oleh PH ketika mentadbir Negeri Sembilan sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!