Bijak guna kuasa mengundi demi negara

Rakyat perlu mengakui dan menghormati keputusan PRN kerana keputusan majoriti adalah antara ciri-ciri utama dan terpenting dalam sistem demokrasi tulen serta matang. Gambar kecil: Periasamy
Rakyat perlu mengakui dan menghormati keputusan PRN kerana keputusan majoriti adalah antara ciri-ciri utama dan terpenting dalam sistem demokrasi tulen serta matang. Gambar kecil: Periasamy
A
A
A

TANGGAL 12 Ogos yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Hampir 7,330,000 atau 75 peratus pengundi di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka keluar mengundi pada 12 Ogos ini untuk memilih 245 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing.

Pengundi yang tinggal tetap di DUN masing-masing dijangka keluar mengundi manakala hampir 50 peratus pengundi di luar kawasan dijangka tidak akan balik untuk mengundi.

Meskipun beberapa parti politik serta calon Bebas turun ke gelanggang untuk mencuba nasib mereka, rakyat akan menyaksikan persaingan hebat dan sengit di antara gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) ini.

Namun, Negeri Selangor dan Negeri Sembilan akan menjadi medan pertarungan hebat pada 12 Ogos ini.

Tinjauan menunjukkan PH-BN dijangka mempertahankan Pulau Pinang dan PN mempertahankan Kelantan dan Terengganu dengan mudahnya dalam PRN pada kali ini.

Kecenderungan pilihan pengundi, sama ada pengundi Melayu, Cina atau India sukar diramalkan pada kali ini kerana isu kempen PRN pada kali ini adalah lebih memusatkan kepada kaum dan agama yang mana kedua-dua isu ini terdekat dengan hati pengundi, lebih-lebih lagi pengundi Melayu.

Memandangkan majoriti pengundi adalah terdiri daripada kaum Melayu, sama ada tua maupun muda, mereka dijangka mengalih sokongan mereka kepada pengundi Melayu pada kali ini.

Dalam pada itu, peranan jentera pilihan raya adalah penting dalam menjayakan sesuatu parti serta calon.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks ini, penyokong serta jentera UMNO yang kelihatan kurang bersemangat pada awalnya dilihat telah turun padang dengan penuh ghairah pada akhir-akhir ini. Manakala, pengundi India yang keliru terhadap pilihan mereka pada awalnya, juga pada akhirnya semakin mendekati kepada PH-BN di Negeri Selangor dan Negeri Sembilan.

Malah pemimpin serta ahli MIC yang merajuk terhadap BN pada awalnya didapati sudah pujuk oleh kepimpinan MIC dan PH untuk turun padang bagi memastikan kemenangan calon-calon PH-BN.

Pada pandangan kasar, pengundi Melayu dijangka pecah, malah majoritinya dijangka dipengaruhi oleh gelombang hijau dari timur dalam memastikan kemenangan calon-calon PN di beberapa DUN.

Namun, gabungan PH-BN menjangka dapat sokongan hebat daripada pengundi Cina kerana mereka masih setia kepada DAP, parti yang merupakan parti pilihan utama mereka sejak kebelakangan ini.

Apakah sokongan majoriti pengundi Cina sahaja sudah mencukupi bagi menjamin kemenangan calon-calon PH-BN ?

Apa yang akan membantu kemenangan calon-calon PH adalah sokongan pengundi Melayu pada kadar tidak kurang daripada 30 peratus di semua DUN.

Apakah PH-BN mampu meraih sokongan pada kadar peratusan tersebut?

Sebaliknya, PN yakin akan dapat sokongan 80 peratus pengundi Melayu di kebanyakan kawasan DUN di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala 40 peratus di lain-lain negeri.

Jadi, PN mengharapkan hanya 5 hingga 10 peratus pengundi bukan Melayu dalam memastikan kemenangan calon-calon mereka.

Dalam konteks ini, PH-BN serta PN mengharapkan sokongan pengundi India dalam lingkungan 10 peratus dalam menjamin kemenangan bagi calon-calon parti mereka.

PN pula berharapan tinggi sokongan pengundi India yang dijangkakan itu akan memihak PN. Sekiranya ini berlaku maka cerahlah peluang PN menang dengan hebat dalam PRN ini.

Memandangkan undi Melayu dijangka pecah, maka PN mengharapkan undi India, terutamanya di Selangor dan Negeri Sembilan.

Misalnya, hampir 10 kawasan, daripada jumlah 56 kerusi DUN di Selangor mempunyai komposisi pengundi India antara 20 hingga 40 peratus. Jadi, undi India mampu menentukan keputusan di kedua-dua negeri tersebut.

Namun, 14 calon Bebas India yang bertanding dalam PRN ini dijangka menjejaskan sokongan pengundi India kepada kedua-dua gabungan di negeri Selangor dan Negeri Sembilan.

Malah episod ketinggalan seorang tokoh DAP keturunan India, Prof Dr Ramasamy, dalam senarai calon bertanding dalam PRN juga dijangka merosotkan bank undi India kepada PH-BN.

Dengan itu, undi India, terutamanya daripada ahli MIC, dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan PRN di negeri Selangor dan Negeri Sembilan, di mana kedua-dua negeri yang menjadi rebutan dan taruhan antara PH-BN dan PN pada kali ini.

Persoalannya, apakah ahli MIC akan menyokong calon PH-BN dalam PRN ini seperti diuar-uarkan dalam pelbagai media terutamanya media perdana?

Sekiranya majoriti pengundi India menganjak sokongan mereka kepada Kerajaan Perpaduan, maka peluang bagi calon-calon PH-BN adalah cerah. Apakah mereka akan lalukan?

Apa pun, PRN pada kali ini dilihat sebagai satu pertembungan hebat antara majoriti pengundi Melayu pada satu pihak dan majoriti pengundi bukan Melayu pada satu pihak yang lain.

Selain itu, pertembungan hebat antara dua kumpulan masyarakat terbesar dalam negara seperti ini jelas memaparkan rakyat Malaysia belum sedia untuk keluar daripada kepompong pemikiran yang mengaitkan agama dan kaum dalam politik dan pilihan raya.

Meskipun pengundian bersandarkan kaum dan agama adalah kurang sihat bagi politik Malaysia, namun keputusan PRN pada kali ini akan menggambarkan aspirasi atau suara majoriti rakyat, salah satu ciri yang penting dalam sistem demokrasi.

Rakyat perlu mengakui dan menghormati keputusan PRN kerana keputusan majoriti adalah antara ciri-ciri utama dan terpenting dalam sistem demokrasi tulen serta matang. Jom bijak mengundi demi negara.

* Datuk M Periasamy ialah Penganalisis Sosial-Politik Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!