Penduduk DUN Kok Lanas tuntut kemudahan sukan, air bersih
KOTA BHARU - Meski sudah menikmati limpahan pembangunan, penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas di sini masih memerlukan kemudahan sukan dan air bersih.
Penduduk, Zuni Mohamed, 58, berkata, golongan belia di DUN itu menagih kawasan khas untuk pelbagai jenis sukan.
"Selain itu kami juga mahu wakil rakyat baharu memperjuangkan kemudahan internet yang sangat sukar di beberapa kampung di DUN ini," katanya ketika mengadakan pertemuan bersama guru-guru DUN Kok Lanas pada Jumaat.
Pesara guru berasal dari Kampung Batu Tinggi itu mengakui sudah memutuskan memilih calon mana dan berharap keputusannya tepat untuk merealisasikan hasrat rakyat.
Sementara itu, pesara kerajaan, Mat Rani Ayub, 62, berharap wakil rakyat yang dipilih dapat memberi sumbangan terbaik untuk mengubah lanskap pembangunan DUN Kok Lanas.
Beliau yang berasal dari Kampung Belukar Luas, Ketereh berkata, kemudahan penting yang diperjuangkan penduduk ialah kemudahan sukan.
"Sekian lama kami menuntut lokasi kemudahan sukan untuk golongan muda selain bekalan air bersih," katanya.
Sementara itu, calon DUN Kok Lanas, Ahmad Deraman ketika ditemui pemberita memberitahu, perjuangan utama beliau ialah prasarana dan pendidikan selain kemudahan diperlukan rakyat.
Menurut beliau, kemudahan sukan memerlukan tanah dan usaha akan dilakukan jika beliau diberi mandat oleh rakyat.
"Insya-ALLAH kita boleh ikhtiarkan supaya lebih banyak penganjuran sukan di sekolah, institusi pengajian tinggi, anggota tentera dan lain-lain," katanya.
Beliau turut memberitahu, tidak sampai tempoh 24 jam, beliau kini mengadakan kempen secara agresif untuk terus mengekalkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sejak 1999.
Sebagai anak tempatan beliau yakin satu kelebihan untuk memenangi hati rakyat terutama jika berlaku situasi getir seperti kematian atau banjir kilat.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!