Rayuan Najib gugurkan dua peguam Tommy Thomas ditolak

Najib dan Tommy Thomas
Najib dan Tommy Thomas
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuannya hari ini untuk menggugurkan dua peguam Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam kes saman RM1.9 juta yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Azimah Omar dan Datuk Azhahari Kamal Ramli sebulat suara menolak rayuan Najib untuk menggugurkan Alan Adrian Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung daripada mewakili Thomas.

Hakim Hanipah berkata, tiada kaitan antara kedua-dua peguam cara itu dan punca tindakan Najib dalam saman tersebut.

"Kedua-dua peguam cara itu akan dapat mengekalkan kebebasan profesional mereka dan bertindak demi kepentingan terbaik pentadbiran keadilan,” katanya.

Hakim Hanipah berkata, mahkamah mendapati tiada kesilapan yang membolehkan rayuan berhubung keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib pada 19 Ogos tahun lepas untuk melucutkan kelayakan peguam itu, yang merupakan rakan kongsi dalam Tetuan Tommy Thomas, daripada mewakili Thomas dalam saman Najib.

Najib, 70, menyaman Thomas, memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam berhubung tuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya.

Beliau juga menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi, termasuk yuran perundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menghadapi dakwaan terhadapnya.

Najib menyaman Thomas dengan mendakwa telah dituduh di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas.

Pada 25 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya (Thomas).

Rayuan Najib untuk mengembalikan semula saman akan didengar pada 4 Oktober ini.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Najib manakala Gomez dan Mervyn bertindak bagi pihak Thomas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!