DAP gantung serta-merta ahli hina UMNO, agama
SHAH ALAM - Parti DAP menggantung serta-merta keahlian seorang ahli parti itu yang mengeluarkan kata-kata kesat menghina UMNO dan menyentuh isu sensitiviti agama ketika berucap dalam satu majlis seperti mana video yang ditularkan di media sosial.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, klip video itu memaparkan ucapan seorang ahli parti pada majlis makan malam anjuran sebuah cawangan DAP.
“Selepas siasatan dalaman dibuat, didapati majlis tersebut diadakan pada bulan Jun yang lalu dan bukannya semasa tempoh kempen pilihan raya.
“Individu berkenaan adalah seorang ahli biasa DAP dan (kenyataannya) tidak mewakili kepimpinan parti.
Pucuk pimpinan DAP mengutuk keras ucapan tersebut yang bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat.
“Saya telah mengarahkan supaya status keahlian individu tersebut digantung serta-merta sementara Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menggesa DAP untuk mencari individu tersebut dan melakukan permohonan maaf serta diberi hukuman setimpal.
Tegas beliau, satu laporan polis akan dibuat bagi memastikan tindakan diambil apabila dilihat sengaja berkempen menggunakan isu 3R (agama, raja dan kaum).
Ujar Anthony, klip video lama itu sengaja ditularkan oleh pihak tertentu pada waktu kritikal ini bertujuan untuk mematahkan momentum kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PN).
“Saya menyeru semua penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP,” katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!