PSG terpaksa kekalkan Mbappe
KYLIAN Mbappe tidak akan meninggalkan Paris Saint Germain (PSG) pada musim panas ini dan akan kekal di kelab itu sehingga kontraknya tamat tahun depan.
Media Perancis telah melaporkan bahawa kapten Perancis itu mengadakan pertemuan dengan presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi minggu ini, namun gagal memecahkan kebuntuan mengenai masa depan pemain itu.
Mbappe telah menolak menandatangani perjanjian baharu walaupun PSG menawarkan untuk memasukkan klausa pembelian pada musim panas akan datang.
Pemain yang membantu Perancis memenangi Piala Dunia 2018 itu juga enggan bercakap dengan Al Hilal selepas pihak kelab dari Arab Saudi itu membuat tawaran €300 juta (RM1.5 bilion).
Mbappe dilaporkan kecewa dengan kegagalan PSG mendapatkan Robert Lewandowski dan Bernardo Silva tahun lalu selepas dia bersetuju dengan perjanjian baharu.
Le Parisien menyatakan bahawa Mbappe telah memutuskan untuk kekal dan mengulangi kenyataan yang dibuatnya pada Jun lalu.
"Saya telah berkata matlamat saya adalah untuk terus di kelab, untuk kekal di PSG. Ia satu-satunya pilihan saya ada pada masa ini. Saya bersedia untuk kembali. Adakah saya terkejut dengan kemarahan PSG? Tidak banyak yang mengejutkan saya lagi.
"Surat itu dihantar sebelum saya menyertai pasukan kebangsaan Perancis. Saya tidak fikir surat itu menyinggung perasaan sesiapa," kata Mbappe pada Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!