Enam warga Colombia ditahan kes bunuh calon Presiden Ecuador
QUITO - Enam lelaki warga Colombia ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan calon presiden Ecuador, Fernando Villavicencio ketika sedang berkempen di Quito pada Rabu lalu.
Pembunuhan itu berlaku kurang dua minggu menjelang pilihan raya Parlimen dan Presiden.
Setakat ini pihak berkuasa mengesahkan beberapa lelaki yang ditahan itu adalah pembunuh upahan.
"Seorang lagi suspek yang cedera semasa insiden berbalas tembakan dengan polis dan meninggal dunia di dalam ambulans juga merupakan warga Colombia," kata jurucakap polis kepada agensi berita EFE.
Laporan itu menambah, ia bukanlah kali pertama warga Colombia terlibat dalam pembunuhan ahli politik di negara lain kerana tentera upahan Colombia juga bertanggungjawab dalam pembunuhan Presiden Haiti, Jovevel Moises pada 7 Julai 2021.
Sebelum ini penasihat Kempen Villavicencio, Patricio Zuquilanda mendedahkan bahawa ahli politik berusia 59 tahun itu pernah membuat laporan polis kerana menerima ugutan bunuh.
Villavicencio ialah calon presiden untuk parti Build Ecuador Movement dan berada di tempat keempat atau kelima dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.
Sebagai seorang wartawan dan ahli Parlimen, beliau sering mengkritik jenayah rasuah yang berleluasa di Ecuador.
Pilihan raya diadakan di Ecuador pada 20 Ogos selepas Presiden Guillermo Lasso membubarkan Parlimen di tengah-tengah prosiding pemecatan terhadapnya kerana dakwaan penyelewengan.
Motif dan dalang sebenar pembunuhan Villavicencio masih disiasat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!