DUN Sungai Tiang mampu kekal di bawah PH-BN
PENDANG - Maklumbalas baik ditunjukkan oleh pengundi muda kepada Barisan Nasional (PH) dan Pakatan Pakatan (PH) dilihat menjadi salah satu faktor Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang mampu kekal di bawah gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.
Calon BN, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, kelebihan sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO Kedah dan Bahagian Pendang menyaksikan beliau telah memberikan perkhidmatan kepada golongan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pendang itu, rata-rata anak muda yang ditemui di DUN Sungai Tiang bersedia memberikan sokongan kepadanya dalam usaha untuk membawa suara anak muda di DUN Kedah.
"Di DUN Sungai Tiang, kita ada 22,000 pengundi muda berumur 18 hingga 40 tahun. Kelebihan saya ketika menjadi Ketua Pemuda dulu saya dah berkhidmat kepada orang muda ini tidak kira parti pada waktu itu.
"Saya masuk ke kampung dan jumpa anak muda. Ada di sebelah sana (Perikatan Nasional) dan ada di atas pagar memberikan maklum balas yang baik.
"Walaupun parti lain, walaupun di sebelah sana tapi (mereka kata) ingat jasa abang Fadzil bantu kami, kami nak balas jasa. Saya rasa itu satu indikator baik orang muda kepada kami," katanya ketika ditemui pemberita di bilik Gerakan BN DUN Sungai Tiang dekat sini pada malam Khamis.
Pada PRN kali ini, Mohamad Fadzil berdepan satu lawan satu dengan calon PN, Abdul Razak Khamis.
Jelasnya, beliau optimis untuk mengekalkan kemenangan di DUN Sungai Tiang walaupun keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 memihak kepada lawan namun gelombang tersebut dilihat sudah berkurangan.
Pada PRU14 lalu, DUN Sungai Tiang dimenangi calon BN, Datuk Suraya Yaacob dengan majoriti 641 undi menewaskan Saiful Syazwan (Pas) dan Abdul Razak Khamis (PKR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!