Rayu maklumat bapa dalam surat beranak

Letchmy (kiri) menunjukkan surat daftar kelahiran anak bongsunya dan gambar perkahwinan dengan mendiang suami.
Letchmy (kiri) menunjukkan surat daftar kelahiran anak bongsunya dan gambar perkahwinan dengan mendiang suami.
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang ibu tunggal merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak mengekalkan keputusan asal surat rayuan yang meluluskan kemasukan maklumat mendiang suaminya di dalam daftar kelahiran anak kelima baru-baru ini.

Ibu berkenaan, M Letchmy, 33, berkata, rayuan itu dikemukakan susulan daftar kelahiran Dhurgesh Balan Jayabalan yang berusia 5 bulan sebelum ini tidak dimasukkan maklumat mendiang suami gara-gara kegagalan pihaknya mendaftarkan perkahwinan dengan JPN.

Menurutnya, empat anaknya yang berusia tiga hingga 10 tahun dibenarkan dimasukkan maklumat mendiang suami, G Jeyabalan dalam daftar kelahiran mereka sebelum ini setelah urusan pendaftaran kelahiran diuruskan mendiang suami sendiri.

"Saya dan mendiang suami sudah berkahwin selama 11 tahun tapi tidak daftar perkahwinan dengan JPN kerana menyangkakan perkara itu tidak penting. Sebelum ini, empat anak saya boleh didaftarkan kelahiran dengan disertakan maklumat bapa mereka kerana proses pendaftaran membabitkan kehadiran mendiang suami meskipun tiada sijil nikah.

"Namun bagi kes anak kelima, suami meninggal dunia sewaktu usia kandungan saya dua bulan dan bila saya menguruskan pendaftaran kelahirannya di Parit Buntar, JPN tidak membenarkan maklumat mendiang suami dimasukkan dalam daftar kelahiran anak bongsu saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Jetty di sini.

Letchmy berkata, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957, Seksyen 13A (2) membenarkan anak tidak sah taraf dimasukkan maklumat bapa kepada nama individu yang mengakui dirinya ayah kepada anak tersebut.

Menurutnya, susulan itu, JPN daerah Kerian mencadangkan pihaknya membuat permohonan semula pendaftaran anak kelima dengan disertakan surat sokongan ibu mentua mendiang suami untuk pengesahan status perkahwinannya.

"Bertindak mengikut nasihat pegawai JPN, kami membuat permohonan rayuan memasukkan maklumat bapa dalam daftar kelahiran anak saya dan menyediakan dokumentasi lengkap sebagai dipinta. Permohonan kali kedua diluluskan JPN Perak melalui surat bertarikh 13 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

"Namun, apabila saya hadir ke JPN Kerian bagi menyelesaikan urusan pembetulan maklumat dalam daftar kelahiran anak bongsu, JPN cawangan itu mendakwa ada berlaku kekeliruan dan menyatakan permohonan anak saya sepatutnya tidak boleh diluluskan," katanya.

Letchmy memegang surat permohonan rayuan pembetulan daftar kelahiran anak bongsunya diluluskan JPN Perak bertarikh 13 Mac 2019.
Letchmy memegang surat permohonan rayuan pembetulan daftar kelahiran anak bongsunya diluluskan JPN Perak bertarikh 13 Mac 2019.

Letchmy berkata, permasalahan itu dirujuk ke JPN Perak, namun mereka turut memaklumkan kes ini tidak boleh diproses kerana tiada sijil nikah.

"Saya kesal dengan tindakan JPN Perak tidak mengekalkan keputusan asal kelulusan surat rayuan dan kini bingung memikirkan masa hadapan anak. Sampai sekarang saya masih belum menerima sebarang surat memaklumkan keputusan kelulusan permohonan rayuan dibatalkan JPN.

"Saya merayu kepada JPN untuk mengekalkan keputusan asal surat rayuan kerana perkara ini membabitkan kepentingan masa hadapan anak bongsu saya, lebih-lebih lagi membabitkan urusan harta pusaka keluarga mendiang bapanya kelak," katanya.

Sementara itu, jurucakap JPN Putrajaya ketika dihubungi memaklumkan akan memberikan maklum balas berhubung kes ini dalam masa terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!