Umat Islam diingatkan tidak bermusuh walau berbeza fahaman

Umat Islam diingatkan tidak bermusuh walaupun berbeza pandangan dalam sesuatu perkara. - Gambar hiasan
Umat Islam diingatkan tidak bermusuh walaupun berbeza pandangan dalam sesuatu perkara. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Umat Islam diingatkan untuk tidak berterusan bermusuh walaupun berbeza pandangan dan pemikiran dalam sesuatu perkara.

Peringatan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat bertajuk 'Islam memelihara keamanan dan silaturahim' yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Hari ini, walaupun kita berbeza dari sudut pandangan dan pemikiran dalam sesuatu perkara, namun persaudaraan Islam adalah lebih utama untuk dipelihara.

"Janganlah kiranya perbezaan pandangan dan fahaman itu berterusan sehingga membawa kepada permusuhan dan perbalahan yang tidak berkesudahan," jelas teks ucapan khutbah berkenaan.

Menurut teks khutbah berkenaan, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita wajar mengikut setiap akhlak dan tingkah laku yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW, antaranya tindakan baginda mendamaikan antara Aus dan Khazraj menunjukkan betapa pentingnya persaudaraan sesama Islam dijaga.

"Sebarang anasir jahat dan bisikan musuh Islam hendaklah ditepis dengan bersungguh-sungguh daripada masuk ke dalam masyarakat Islam.

"Mereka tahu bahawa selama umat Islam bersatu, mereka tidak akan dapat menggugat akidah tauhid dan menguasai kepimpinan negara," ujarnya.

Justeru, katanya, peristiwa kejatuhan Khilafah Uthmaniah patut menjadi iktibar kepada umat Islam di mana antara perkara yang membawa kepada kejatuhan itu ialah perbalahan dalaman masyarakat Turkiye bagi menjatuhkan khalifah.

Artikel Berkaitan:

"Dengan berakhirnya khilafah Uthmaniah, maka umat Islam sudah tidak mempunyai tempat pergantungan lagi melainkan diri mereka sendiri dalam negara-negara kecil yang mereka berada, masing-masing ingin menjaga kepentingan sendiri sehinggakan mudah untuk dikuasai oleh musuh," katanya.

Menurut khutbah itu, musuh Islam inginkan umat Islam terus bersengketa agar mereka terhalang daripada memikirkan tentang agama, bangsa dan negara, sedangkan keamanan dan kesejahteraan negara adalah nikmat tidak ternilai dikurniakan oleh ALLAH SWT.

"Sesungguhnya setiap tindakan kita tidak terlepas daripada dicatat oleh malaikat. Justeru, semaikanlah kesatuan dan hubungan silaturahim sesama Islam agar kita semua memperoleh reda ALLAH SWT di dunia dan akhirat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!