Pengundi harap DUN Penaga tidak dipinggirkan

DUN Penaga menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PH-BN dengan PN. - Gambar kecil: Ahmad (kiri), Norhaniza, Mohd Syukur
DUN Penaga menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PH-BN dengan PN. - Gambar kecil: Ahmad (kiri), Norhaniza, Mohd Syukur
A
A
A

KEPALA BATAS - Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga berharap kawasan itu tidak terpinggir daripada sebarang pembangunan dan kebajikan dilaksanakan kerajaan negeri yang dipilih menerusi pilihan raya negeri (PRN) ini.

Ahmad Said, 63, berkata, DUN Penaga yang merekodkan lebih 26,000 pengundi dengan 93 peratus Melayu memerlukan pembangunan lebih agresif bagi menjamin taraf hidup lebih tinggi dan terjamin.

Menurutnya, sejak dahulu, komuniti di kawasan itu banyak bergantung kepada pendapatan sebagai nelayan dan pesawah yang merupakan kumpulan terbesar penduduk di sana.

"Saya mula mengundi sejak 1986 lagi, waktu itu zaman Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) sampailah sekarang.

"Bukan lah kata tiada pembangunan langsung, cuma kena banyakkan lagi seperti kawasan supaya generasi yang ada sekarang dapat jaminan hidup lebih baik, ada peluang pekerjaan selain bergantung kepada nelayan dan hasil padi," katanya.

Seorang lagi pengundi, Norhaniza Megat Bahardin, 47, mahu kerajaan negeri menambah skim perniagaan kepada peniaga luar bandar terutama bantuan modal dan peralatan.

Katanya, disebabkan kedudukan DUN Penaga agak jauh dari kawasan pusat pembangunan menyebabkan ramai kalangan penduduk bekerja sendiri termasuklah mengusahakan perniagaan kecil-kecilan.

"Duduk di bandar atau kampung, semuanya rakyat yang perlukan perhatian daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi harap sangatlah kerajaan negeri jenguk-jenguk masalah kami di sini. Tak kisahlah parti mana-mana pun yang memerintah asalkan nampak pembaharuan berlaku di kawasan DUN ini," katanya.

Bagi Mohd Syukur Abdul Bakar, 33, pula berharap amalan kroni kepartian dapat dihapuskan dalam era pentadbiran baharu ini nanti.

Ujarnya, pernah berlaku sumbangan makanan hanya diberikan kepada kelompok tertentu sedangkan mereka yang terpinggir memang layak untuk dibantu.

"Kita sekarang dah di zaman politik baharu, jadi harap sangatlah bantuan kebajikan yang disalurkan kerajaan sampai kepada penduduk tanpa memihak mana-mana parti.

"Lebih-lebih lagi di DUN Penaga ini, ramai orang susah yang taraf hidupnya berada dalam garis kemiskinan," katanya.

Pada PRN negeri ini, DUN Penaga menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).

Gabungan PH dan BN diwakili calon muka baharu daripada UMNO, Mohd Naim Salleh manakala PN menerusi Pas, Mohd Yusni Mat Piah selaku penyandang kerusi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Mohd Yusni menang dengan majoriti 1,132 undi sekali gus memecahkan rekod kubu kuat BN di kawasan itu.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!