Manifesto PN ke arah pembentukan 'Selangor Super Smart State'

Mohamed Azmin menunjukkan 'poster' 122 tawaran baharu dikemukakan PN kepada rakyat Selangor.
Mohamed Azmin menunjukkan 'poster' 122 tawaran baharu dikemukakan PN kepada rakyat Selangor.
A
A
A

TEMPOH kempen pilihan raya negeri (PRN) berbaki beberapa hari lagi sebelum lebih 9.77 juta pengundi di enam negeri memberikan mandat kepada wakil rakyat dan parti untuk membentuk kerajaan negeri pada 12 Ogos ini.

Di Selangor, dengan lebih 3.74 juta pengundi melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN). Fasa pertama kempen yang bermula sebaik proses penamaan calon selesai pada 29 Julai lalu, menyaksikan seramai 572 calon mewakili perbagai parti dan individu mengatur gerak untuk mendekati rakyat.

Dalam usaha memenangi hati para pengundi, parti-parti yang menyertai PRN telah mengumumkan manifesto masing-masing termasuk Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Perikatan Nasional (PN) serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Selangor dilihat mempunyai persaingan yang sihat dari segi pengumuman manifesto.

PH-BN menawarkan manifesto yang dikenali sebagai Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun.

Manifesto itu mengandungi lima teras utama sebagai tawaran kepada rakyat Selangor, dengan 53 tawaran jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.

Manakala, tawaran PN lebih berbentuk kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2.0 bilion dengan 7 tunjang, 25 pendekatan dan 112 tawaran bertemakan ‘Selangor Baru, Kita Bangkit’.

Namun diskusi hujahan-hujahan politik bagi PRN kali ini banyak mempersoalkan manifesto-manifesto yang manakah realistik atau sekadar janji kosong.

Artikel Berkaitan:

Pengalaman krisis politik yang membawa pertukaran Perdana Menteri dan tiga fasa pemerintahan yang berbeza sudah cukup mematangkan rakyat kita dengan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Pada hari ini, manifesto yang mengutamakan dua perkara ini adalah menjadi tumpuan tetapi soal implementasi dan jangka masa perlaksanaan turut dibangkit. Soal 100 hari pertama? Tiga bulan pertama atau setahun? Atau tiada langsung?

Dalam kita menilai dan membuat perbandingan manifesto-manifesto ini, dua perkara utama yang perlu kita fikirkan ialah pengalaman figura politik, cara governance tadbir urus dan tawaran-tawaran yang lebih baik daripada sekarang dan sesuai berbanding pentadbiran sebelum ini dan juga mengambil kira faktor kos sara hidup semasa.

Di Perikatan Nasional Selangor, ikon politik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu Pengerusi PN Selangor adalah seorang figura yang tidak asing, pernah mentadbir Selangor, juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mempunyai pengalaman yang versatil telah mengemukakan manifesto berbentuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai RM2.0 bilion berdasarkan pengalaman dan kepakaran di dalam tadbir urus Selangor sebelum ini.

Konsep Prihatin ini sinonim dengan Perikatan Nasional yang dijana ketika kesusahan rakyat berhadapan dengan pandemik.

Prihatin ini jika dianalisis dengan teliti, kebanyakan manifesto ini kesinambungan dasar-dasar yang dibuat ketika pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan itu yang menangani krisis kesihatan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.

Pengalaman menerusi Majlis Pemulihan Negara telah banyak membantu mengeluarkan tawaran-tawaran yang mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat juga status perlaksanaan sesuatu program di setiap kementerian.

Desas-desus tohmahan manifesto yang copy-paste mungkin lebih kepada retorik politik atau political contentious antara parti-parti politik tetapi bukan kepada rakyat sebenarnya berikutan di minda rakyat hanya berfikirkan tentang kebajikan dan kesejahteraan serta walk the talk di dalam menurunkan harga barangan.

Walaupun PN dilihat sebagai sebuah parti baharu, pengalaman dan cabaran yang dilalui oleh PN dalam tempoh yang begitu dekat ketika mengambil alih tampuk pemerintahan PH pada waktu krisis pandemik Covid-19 adalah suatu perkara yang tidak boleh dinafikan.

Satu kelebihan besar mereka ialah kebanyakan janjinya adalah hasil kesinambungan yang dibuat. Jadi rakyat boleh melihat kesinambungan polisi-polisi bagi setiap sektor masyarakat dari golongan belia, ibu tunggal, komuniti B40 dan sebagainya.

Apabila dibuat perbandingan dan analisis manifesto-manifesto kesemua parti, manifesto PN bagi Selangor disifatkan sebagai sesuatu yang mampu dilakukan sesuai dengan kapasiti dan kemampuan Selangor berdasarkan trek rekod yang lepas iaitu 2.3 bilion pada tahun 2017 bawah pentadbiran Azmin Ali.

Maka, soal manifesto sama ada praktikal dan atau tidak realistik tidak wujud berdasarkan pengalaman figura politik ini, kesinambungan polisi-polisi serta jaringan kerjasama kerajaan negeri dan PBT.

Konsep Prihatin yang bermula dengan dua tawaran utama di Selangor adalah Inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dan Skim Peduli Sihat akan dapat mengurangkan beban rakyat negeri itu yang terbeban dengan kos sara hidup.

Peningkatan kos sara hidup di Selangor adalah paling terasa dan ramai yang terkesan. Maka, tumpuan utama diberikan bagi bantuan kebajikan untuk meringankan beban warga Selangor.

Sebanyak RM312 juta setahun bagi melaksanakan Inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dan dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas.

Inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun dengan bantuan seperti enjin bot dan alatan akuakultur.

Pengecualian bayaran parkir di kawasan letak kenderaan bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor utara dan menaikkan elaun bulanan yang dibayar oleh kerajaan negeri kepada penggerak masjid dan surau iaitu imam sebanyak RM1,700, bilal RM800, siak RM600 dan nazir RM600.

Skim Rumah Pertama Darul Ehsan yang merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik bagi golongan yang memerlukan serta menyediakan kuota khas bagi keluarga muda akan diwujudkan.

Skim Peduli Sihat termasuk Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan kepada rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah dan kemudahan pengangkutan percuma Van Selangor Care bagi memudahkan pergerakan warga emas dan OKU ke pusat kesihatan diperluaskan, serta menyediakan dana berjumlah RM15 juta untuk inisiatif jaringan perkhidmatan Ambulans Komuniti Selangor (AKoS).

Bagi golongan muda, peluang kerja yang diharapkan. Dengan kemasukan pelabur asing yang berkemahiran dan berteknologi tinggi sekali gus menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada anak muda Selangor boleh menjadikan Selangor sebagai 'Super Smart State'.

Ia bakal mengubah nasib kebergantungan kepada pelaburan yang masih berintensifkan tenaga pekerja asing. Jika fenomena ini berterusan, tidak mungkin anak-anak muda di Selangor ini dapat mencipta atau diberikan peluang untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti dan kemahiran tinggi.

Antara cadangan yang tawarkan adalah tarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi seterusnya cipta 100,000 pekerjaan yang berkualiti.

Pembawaan Amazon Web Services (AWS) masuk ke Selangor walaupun Selangor bukan ditadbir PN, telah membawa pelaburan bernilai RM25 bilion ke negeri berkenaan ketika Azmin di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Jadi pemikiran rakyat kita harus mencapai tahap pemikiran rakyat negara membangun, iaitu perbahasan hujahan politik yang sihat dari segi tawaran manifesto. Ketepikan ideologi politik, utamakan apa yang kita hendak sebagai rakyat Malaysia.

Tempias pasca pandemik masih dirasakan bahangnya, bukan setakat pemberian insentif secara one off juga turut diharapkan malah lebih daripada itu iaitu resolusi untuk isu-isu tempatan.

Maka, rakyat harus membuat perbandingan yang terbaik di dalam menilai manifesto semua parti politik sama ada ianya benar-benar praktikal atau hanya menjanjikan bulan bintang.

* Prof Madya Dr Sara Chinnasamy ialah Penganalisis Politik dan Media Sosial UiTM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!