Peratusan keluar mengundi di 4 negeri dijangka rendah - Ilham Centre

Ilham Centre menjangkakan peratusan keluar mengundi dalam PRN pada Sabtu lebih rendah di empat negeri berbanding pada PRU15 lalu. - Gambar hiasan
Ilham Centre menjangkakan peratusan keluar mengundi dalam PRN pada Sabtu lebih rendah di empat negeri berbanding pada PRU15 lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre menjangkakan peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lebih rendah di empat negeri berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ilham Centre berkata, pengundi luar lokaliti atau negeri di Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah menyatakan dalam kajian itu bahawa berkemungkinan besar mereka tidak pulang mengundi.

"Bagi responden yang mengundi di Terengganu dan Kelantan, (mereka) kelihatan selesa dengan kemenangan besar Pas dalam PRU lalu (dan) melihat parti itu akan menang walaupun mereka tidak pulang mengundi.

"Ini membentuk sikap selesa pada pengundi di dua negeri berkenaan," katanya menerusi laporan kajian Prediksi PRN pada Jumaat.

Laporan itu disediakan panel penyelidikan Ilham Centre iaitu Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal; Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim; Ketua Penyelidikan, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Felo Penyelidik, Mujibu Abd Muis.

Mengulas lanjut, Ilham Centre memberitahu, keadaan itu juga dipengaruhi oleh suasana kempen berbaur hambar dan 'sejuk' di empat negeri berkenaan.

''Ini dapat dilihat kepada sambutan ceramah politik setempat, perang bendera dan kempen fizikal sangat minimum. 'Perang' sebenar lebih tertumpu di media sosial.

''Sambutan terhadap ceramah setempat, meraih undi menerima sambutan agak hambar dari pengundi. Lambakan kempen yang berpusatkan kepada isu nasional menyebabkan isu tempatan mahupun negeri tenggelam,'' tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ilham Centre menjelaskan, keseluruhannya dalam cerapan sentimen pengundi di lapangan membabitkan enam negeri tersebut, ia mempamerkan keadaan tidak sama.

Menurutnya, pada masa kajian berlangsung hanya Selangor dan Kedah disifatkan oleh pengundi agak panas kerana pertembungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) agak ketara.

''Selangor dan Kedah mencabar serta panas (jadi ia) mengundang keterujaan tinggi untuk pengundi berpartisipasi dalam proses demokrasi kali ini," ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!