DVS sekat import lembu, kerbau dari Australia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan arahan penggantungan import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia pada 4 Ogos 2023.

DVS dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) oleh pihak berkuasa Indonesia pada lembu yang diimport dari Australia.

Katanya, tindakan penggantungan itu bagaimanapun hanya bersifat sementara dan diambil sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut DVS, Malaysia mengimport lembu dan kerbau dari Australia dengan nilai import sebanyak RM25,547,355.00.

"Susulan dari penggantungan import tersebut, sesi libat urus antara DVS dan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia telah diadakan pada 7 Ogos 2023.

"DAFF bersetuju untuk berkongsi laporan hasil siasatan berkaitan dakwaan dari pihak Indonesia tersebut," ujarnya pada Jumaat.

Tambah kenyataan tersebut, DVS sedang menunggu laporan penuh daripada DAFF bagi tindakan selanjutnya.

"Bagi memastikan sektor ternakan dalam negara terjamin bebas daripada sebarang risiko penyakit, DVS sentiasa memastikan semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut protokol dan tatacara yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!