Warga emas terkilan tak dapat tanah diteroka sejak 1970

Jusoh duduk di tangga rumah yang dibina di atas tanah orang lain di Kampung Tiruk, Serada di Kuala Terengganu.
Jusoh duduk di tangga rumah yang dibina di atas tanah orang lain di Kampung Tiruk, Serada di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas meluahkan rasa terkilan kerana permohonan untuk memiliki tanah yang diteroka sejak 1970 di Kampung Tiruk, mukim Serada dekat sini ditolak sebaliknya diberikan kepada individu lain melalui agihan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Jusoh Mohd, 83, berkata, permohonan tanah milik kerajaan yang diteroka bersama rakannya, Wahab Mohd, 77, telah dikemukakan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu pada Februari 2019 namun ia ditolak pada Oktober 2020.

"Saya dapat tahu tanah yang saya teroka itu kini dah jadi milik orang lain setelah diberitahu oleh kawan saya dua, tiga bulan lalu.

"Saya rasa agak terkilan sebab bukannya pemimpin setempat tak tahu saya yang teroka tanah itu malah sampai kini saya tiada tanah dan masih menumpang di atas tanah orang, " kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Jusoh dan isteri, Tuan Siah Tuan Sulaiman, 80, kini tinggal di sebuah rumah yang dibina di atas tanah milik kenalan di Kampung Tiruk, dekat sini.

Warga emas itu sebelum ini bekerja sebagai penoreh getah namun kini sudah tidak bekerja kerana agak uzur dan hanya bergantung kepada wang pemberian anak-anaknya.

"Kalau boleh saya nak minta jasa baik kerajaan negeri luluskan satu lot tanah bahagian saya kerana saya tiada tanah.

"Sekarang ni pun saya hanya menumpang atas tanah orang. Entah esok atau lusa kalau pemilik tanah tu mahukan semula tanah mereka, saya terpaksa pulangkan kembali kepada mereka," luahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas dari kerajaan negeri berhubung perkara itu tidak berhasil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!