Anwar terima kunjungan hormat Menteri Luar China di Pulau Pinang

Anwar (kiri) menerima kunjungan hormat daripada Yi, yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini. Foto Bernama
Anwar (kiri) menerima kunjungan hormat daripada Yi, yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar China, Wang Yi yang mengadakan lawatan ke Malaysia dalam usaha meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.

Yi yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dalam kunjungan itu mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar yang berlangsung selama 25 minit dari pukul 3.17 petang di Hotel Eastern and Oriental, di sini.

Anwar dan Yi kemudiannya turut mengadakan mesyuarat bersama Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Pertemuan itu menandakan kepentingan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, yang menyaksikan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas dengan pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion (RM55.16 bilion).

Jumlah eksport ke China meningkat 9.4 peratus kepada RM210.62 bilion (AS$47.84 bilion) pada 2022 manakala import dari China menyaksikan peningkatan 20.7 peratus kepada RM276.50 bilion (AS$62.78 bilion) pada tahun yang sama.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan, menandakan persahabatan yang lama terjalin dan kerjasama mantap dalam pelbagai sektor. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!