Selangor laksana lima tawaran dalam tempoh 100 hari pentadbiran
Keyakinan melaksanakan lima tawaran bukanlah kerana angkuh, tetapi yakin dengan kebijaksanaan rakyat di negeri ini.
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor optimis melaksanakan lima 'Tawaran Kita Selangor' dalam tempoh 100 hari pentadbirannya sekiranya kekal memerintah dan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lima perkara diikhtiarkan dalam tawaran itu pertamanya dengan menghargai wanita bekerja menerusi pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak.
Menurut beliau, bagi tawaran kedua pula adalah dengan melaksanakan pengecualian cukai taksiran untuk rumah kampung dan rumah kos rendah.
"Tawaran ketiga pula kerajaan negeri memberikan baucar buku Kita Selangor kepada seramai 1,000 mahasiswa di negeri ini bernilai RM200.
"Kerajaan Selangor turut memberi tawaran keempat dengan menaikkan elaun imam, bilal dan siak serta tawaran kepada seramai 500 petani, pesawah dan nelayan akan menerima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM 1000," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Amanat Khas Menteri Besar Selangor yang disiarkan di akaun Facebook beliau pada Jumaat.
Amirudin memberitahu, keyakinan melaksanakan lima tawaran bukanlah kerana angkuh, tetapi yakin dengan kebijaksanaan rakyat di negeri ini.
"Kita sedar bahawa untuk mengangkat Selangor dan rakyatnya ke suatu harakat (pergerakan) lebih gemilang, perlunya kepada suatu kerajaan yang terbukti cekal menghadapi cabaran, cekap, tangkas dan berwibawa mengemudi negeri untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat dan menawarkan solusi kepada perkara serta cabaran bakal dihadapi," ujar beliau.
Amirudin menjelaskan, tawaran 'Kita Selangor, Lima Tekad, Lima Tahun' dibentangkan beliau pada 31 Julai lalu merupakan komitmen serta iltizam Kerajaan Perpaduan di negeri ini untuk lima tahun akan datang.
"(Tawaran) ia hadir dari ikhtiar dan fikiran yang mendalam serta murni demi Selangor dan rakyatnya.
Tambahnya, rakyat negeri ini perlu bijak membuat keputusan dengan memilih gabungan yang telah terbukti menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang lima tahun ini dalam menghadapi krisis dan dugaan.
"Setiap undi dari anda adalah berharga dan undilah gabungan Perpaduan yang telah terbukti dan teruji," jelas Amirudin.
Justeru kata beliau, kerajaan negeri juga berbesar hati mengumumkan Cuti Peristiwa Isnin depan sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN Selangor.
"Saya ingin mengumumkan sekiranya gabungan Perpaduan berjaya memenangi PRN dan membentuk kerajaan negeri Selangor, kita bersetuju isytiharkan Cuti Peristiwa buatseluruh rakyat negeri ini pada 14 Ogos 2023 iaitu Isnin depan," katanya.
Menurut Amirudin, PRN diadakan pada Sabtu ini penting kepada rakyat bagi menentukan masa depan negeri Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
Tegas beliau, rakyat mempunyai pilihan antara gabungan yang meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ini atau pun gabungan lain hanya berminat untuk menggunakan PRN untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara.
"Oleh itu, kita harus melaksanakan amanah mengundi ini dengan rasa penuh tanggungjawab.
"Kita harus menyingkirkan emosi dan ego ketika memilih pimpinan negeri dan jangan sesekali dipengaruhi rasa benci serta menaruh dendam," jelas beliau.
Bagaimanapun, katanya, beliau menghormati setiap pilihan rakyat sebagai warganegara bagi menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.
" Tiada seorang pun warganegara sepertimana yang saya pernah tegas, “tiada sesiapa tertinggal," katanya.
Amirudin turut merakam ucapan terima kasih kepada jentera PH dan BN di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Sungai Air Tawar di utara sehingga ke Sungai Pelek di selatan.
"Semak tempat mengundi anda di laman www.mysprsemak.spr.gov.my, ayuh beramai-ramai kita raikan bersama-sama pesta demokrasi dengan menunaikan tanggungjawab mengundi pagi esok," kata beliau.
Menyorot kembali pentadbiran kerajaan Selangor di bawah beliau selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Amirudin memberitahu, Selangor merupakan sebuah negeri maju dan terkehadapan dalam banyak perkara serta aspek kehidupan.
"Sudah pasti ia bukanlah usaha saya seorang, sebaliknya rangkuman serta cantuman usaha pemimpin, ulil amri, penjawat awam serta keringat rakyat di Sabak sehingga ke Sepang.
"Oleh kerana kepesatan negeri ini semenjak abad ke-19 lagi, maka ia menjadi tumpuan, suatu 'melting pot' kepada ramai orang, berbilang bangsa dan agama.
"Ada yang berhijrah ke sini berdekad-dekad atau pun ratusan tahun lalu dari utara, dari pantai timur, Borneo, dari India serta dari Tanah Besar China mencari rezeki dan meraih kehidupan lebih baik," jelas beliau.
Beliau memberitahu, semua mereka yang berhijrah ini lama-kelamaan menumpang teduh di negeri ini dan menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor serta segala daerah jajahan takluknya.
Berucap dalam amanat itu, Amirudin turut mengingatkan rakyat negeri tentang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 dan Hari Malaysia yang ke-60.
Jelas beliau, rakyat seharusnya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah sebuah negara kepelbagaian budaya dan bangsa yang kekal berjaya serta menikmati kemajuan.
"Sudah tentu negeri ini merupakan sebahagian daripada sejarah dan kejayaan Malaysia dan adalah sebahagian daripada bukti kemajuan tersebut," jelas beliau.
Mengimbau usaha kerajaan Selangor menangani krisis Covid-19, Amirudin memberitahu, kerajaan negeri berhadapan dengan cabaran kesihatan yang sengit.
"Covid-19 mengajar kita untuk menilai semula sikap kita terhadap maksud kemajuan dan faham pembangunan.
"Tatkala itu kita seolah-olah 'a nation at war' (negara berperang), cumanya musuh kita adalah musuh yang tidak kelihatan," tambah Amirudin.
Justeru katanya, Covid-19 adalah cabaran dan perperangan lebih besar dan mempunyai kesan terhadap masyarakat.
Beliau memberitahu, rekod rasmi mencatatkanseramai 37, 165 individu terkorban akibat pandemik Covid-19.
"Sebagai pemimpin di negeri ini saya berusaha menghilangkan kesan trauma tersebut dan terpaksa memberanikan diri untuk sentiasa merenungi kembali episod traumatik itu.
"Kesan Covid-19 juga menuntut saya dan pimpinan negeri Selangor untuk sentiasa tangkas berfikir dan melaksanakan dasar future proof demi kebajikan rakyat negeri ini.
"Majoriti rakyat Malaysia sudah tidak mahu menoleh lagi ke belakang untuk merenungi episod menyayat hati ini dan kita faham kerana ia merupakan suatu trauma.," jelas beliau.
Menurut Amirudin, rakyat di negeri ini juga menerima dugaan besar apabila lebih 130,000 keluarga terkesan akibat bah besar melanda negeri ini pada Disember 2021 dan bangkit kembali untuk membina semula kehidupan.
"Walaupun lebih ramai rakyat negeri ini terkesan akibat banjir berbanding negeri lain disebabkan jumlah penduduk tinggi, namun mereka Selangor berjaya bangkit dengan lebih pantas jika dibandingkan dengan kawasan lain.
"Rakyat negeri ini bermaruah, berprinsip, ada nilai dan akhlak, rakyat Selangorlah nadi kepada kejayaan negeri.
"Kecekalan inilah membolehkan kita belayar meninggalkan segala halangan pandemik bagaikan sebuah bahtera dengan layar terkembang, berlayar laju meninggalkan pelabuhan yang serba kalut dan ganas," katanya.
ADVERTORIAL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!