PRN: Ilham Centre ramal status quo kekal 3-3

Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan gabungan PH- BN dan PN akan mengekalkan status quo 3-3 dalam PRN negeri pada Sabtu.
Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan gabungan PH- BN dan PN akan mengekalkan status quo 3-3 dalam PRN negeri pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengekalkan status quo 3-3 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri pada Sabtu.

Ia bermakna gabungan PH-BN akan kekal di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sementara PN pula akan terus menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ilham Centre menerusi Laporan dan Prediksi Akhir PRN Enam Negeri 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, Selangor dijangka kekal menjadi milik gabungan PH-BN dengan menyaksikan PN melebarkan pengaruh di negeri terkaya di Malaysia itu.

''PH-BN mempertaruhkan prestasi cemerlang pentadbiran Kerajaan Negeri (Selangor) dan memberikan keyakinan terbesar mengapa pengundi di negeri ini masih yakin dengan PH-BN.

''Selain itu, undi asas yang dimiliki oleh PH terutama di kalangan pengundi bukan Melayu, Cina dan India kelihatan menjadi deposit tetap kepada gabungan parti ini. Sokongan bukan Melayu seakan tidak berganjak," katanya.

Laporan berkenaan disediakan panel penyelidikan Ilham Centre iaitu Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal; Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim; Ketua Penyelidikan, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Felo Penyelidik, Mujibu Abd Muis.

Ilham Centre menjelaskan, kempen agresif PN pula menakutkan segmen bukan Melayu dan data mereka menunjukkan pengundi segmen berkenaan akan keluar tinggi di Selangor.

''PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu. Sekiranya keadaan ini kekal, PN terpaksa melupakan undi Cina, India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada undi Melayu.

Artikel Berkaitan:

''Ini akan menyempitkan ruang PN menawan negeri ini (Selangor). Mereka perlu memperolehi 70 peratus dan ke atas sokongan Melayu untuk melepasi jumlah undi untuk menang.

''PN berpeluang menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) bermajoriti Melayu namun tidak berupaya untuk mengambil alih kerajaan negeri. Kerusi seperti di anjung utara Selangor terdedah kepada penguasaan PN," tambahnya.

Mengulas lanjut, Ilham Centre memaklumkan, Negeri Sembilan pula sukar dicabar apabila dua blok PH dan BN bergabung.

Menurutnya, di negeri itu, undi asas BN di kalangan pengundi Melayu terlalu besar manakala PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.

''Ditambah pula kekuatan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini tidak sekuat dan tersusun berbanding lima negeri lain. PN juga bermasalah untuk menampilkan poster boy untuk MB dan ini sedikit sebanyak memberi kesan untuk menarik pengundi di atas pagar kepada gabungan parti itu.

''Rumusan untuk Negeri Sembilan hanya tiga DUN berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas. Ini sahaja ruang untuk PN menafikan penguasaan total milik PH-BN," ujarnya.

Di Pulau Pinang pula, Ilham Centre memberitahu PN berpotensi untuk menang di DUN majoriti Melayu iaitu Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua.

Ujarnya, kerusi DUN Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir dan Penanti termasuk dalam kategori persaingan sengit sementara di kerusi lain, PH dan BN di hadapan.

Sementara itu, Ilham Centre berkata, Kelantan dan Terengganu berkongsi ciri hampir sama selain Pas ternyata selesa dan amat berhati-hati dalam berkempen.

''Pos parti tidak semeriah dahulu dengan aktiviti membuat jamuan kerana khuatir disabitkan dengan kesalahan pilihan raya.

''Perang bendera, Terengganu mengatasi Kelantan. Namun kempen fizikal sangat suram dan tidak mendapat sambutan. Audiens yang hadir hanyalah penggerak parti atau orang lama yang meramaikan majlis,'' ulasnya.

Katanya lagi, di Terengganu hanya Telemung jelas untuk menyumbang kerusi serta di kerusi lain seperti Kijal, Seberang Takir dan Permaisuri undi putih UMNO diperlukan untuk menyaingi Pas, manakala pertembungan DUN Bandar sengit atas faktor undi bukan Melayu.

Ilham Centre menambah, mengikut data, untuk soalan kerajaan negeri wajar dikekalkan, Kelantan paling rendah dengan hanya 57 peratus bersetuju iaitu peratus paling rendah antara negeri di bawah pentadbiran Pas sementara Terengganu merekodkan 61 peratus dan Kedah (67 peratus).

"Kedah berada di kelas tersendiri. Faktor Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah memadai menyekat hasrat BN dan PH untuk merampas negeri ini. Malah kesilapan strategi kempen menyebabkan kerusi milik PH dan BN dahulu mungkin akan hilang dari genggaman.

"PN mampu menyapu hampir bersih sekiranya pengundi Cina rendah keluar mengundi. Kerusi Derga, Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang ada peluang buat PH. Undi UMNO perlu keluar maksimum bagi DUN Pedu dan Sungai Tiang untuk menang," katanya.

Ramalan Ilham Centre tersebut berdasarkan tinjauannya terhadap 2,304 pengundi di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dari 29 Julai hingga 8 Ogos lalu.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!