Mohd Amar enggan ulas isu tukar MB, Timbalan MB Kelantan

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah enggan memberi sebarang komen berkaitan keputusan Pas melakukan perubahan jawatan menteri besar dan timbalannya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Beliau ketika ditemui di kediamannya pada Jumaat memberitahu hanya mahu fokus kepada kemenangan dan mengekalkan kerajaan yang ada.

"Saya tiada komen. Itu kena tanya Takiyuddin, nak tanya saya, saya nak jawab apa.

"Keutamaan saya ialah fokus untuk kekalkan kerajaan," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan perubahan bagi gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sedia ada di Kelantan jika menang di negeri itu pada PRN.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Pas tukar MB, Timbalan MB Kelantan jika menang

Media pada Jumaat melaporkan, Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu berikutan cadangan Pas menggabungkan agamawan dan teknokrat untuk jawatan menteri besar dan timbalannya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan pada PRN kali ini memaklumkan pencalonannya itu memasuki penggal ketujuh dan merupakan yang terakhir.

Beliau turut memaklumkan akan memberi laluan kepada calon muda selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Amar turut mempertahankan kerusi DUN Panchor.

Takiyuddin berkata, bagi Terengganu dan Kedah pula, Menteri Besar sedia ada akan dikekalkan tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan kedua-dua negeri.

Beliau berkata, semua keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Rusila, Terengganu pada Khamis yang dipengerusikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!