Polis rampas 110 kotak arak tidak bercukai lebih RM170,000

Gudang yang dijadikan stor tempat simpanan 110 botol minuman keras yang dipercayai tidak bercukai - Foto: Polis Batu Pahat
Gudang yang dijadikan stor tempat simpanan 110 botol minuman keras yang dipercayai tidak bercukai - Foto: Polis Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT - Polis berjaya merampas 110 kotak pelbagai minuman keras dipercayai tidak bercukai yang dianggarkan bernilai sekitar RM170,378.42, hasil serbuan di sebuah gudang berhampiran Jalan Tanjung Laboh dekat sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dolah berkata, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun selain turut merampas sebuah telefon bimbit.

“Sekitar jam 12.30 pagi Jumaat, pasukan Polis Marin telah membuat serbuan di sebua gudang di kawasan kebun yang terletak lebih kurang dua kilometer (KM) dari jalan utama berhampiran Jalan Susur EH 10, KN 25, Off Jalan Tanjung Laboh dekat sini.

“Hasil pemeriksaan, mendapati gudang terbabit dijadikan sebagai stor penyimpanan minuman keras dipercayai tidak bercukai kastam.

“Polis turut menahan seorang suspek lelaki yang juga merupakan penjaga premis terbabit manakala jumlah nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM170,378.42,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda sepuluh kali ganda nilai rampasan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun.

Tambahnya, Mahkamah Majistret Batu Pahat telah membenarkan tahanan reman terhadap suspek selama empat hari mulai Jumaat hingga Isnin depan bagi membantu siasatan polis.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!