Yayasan Restu sasar edar 500,000 al-Quran hujung tahun ini

Mohd Na'im ketika bertemu para pengamal media selepas Perlepasan (Flag Off) Kontena 'Kempen Infak dan Wakaf 1 Juta Al-Quran' di Kompleks Nasyrul Quran hari ini. - Foto Bernama
Mohd Na'im ketika bertemu para pengamal media selepas Perlepasan (Flag Off) Kontena 'Kempen Infak dan Wakaf 1 Juta Al-Quran' di Kompleks Nasyrul Quran hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Yayasan Restu menyasar untuk mencetak dan mengedarkan 500,000 naskah al-Quran menjelang hujung tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Ia merupakan fasa pertama inisiatif yang dilaksanakan susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lepas bahawa Malaysia akan mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden membakar naskah al-Quran di Sweden, katanya.

"Percetakan dan pengedaran al-Quran akan dibuat dalam dua fasa yang menyasarkan 500,000 naskhah untuk setiap fasa.

"Untuk fasa pertama (sehingga hujung tahun ini), penerbitan dan percetakan yang sedang dilaksanakan oleh Yayasan Restu terdiri daripada al-Quran al-Karim dan Terjemahan dalam bahasa Swedish, Inggeris, Sepanyol Latin, Cina atau Mandarin, Khmer, Perancis, Tamil, Tagalog dan Hindi.

"Baki 500,000 pula dijangka akan selesai diterbitkan dalam fasa kedua bermula tahun depan," katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan (Flag Off) Kontena 'Kempen Infak dan Wakaf Satu Juta Al-Quran', di sini hari ini.

Beliau berkata, Yayasan Restu memerlukan peruntukan sebanyak RM38 juta bagi mencetak dan menerbitkan satu juta naskah al-Quran.

"Anggaran kos bagi setiap al-Quran yang akan diterbitkan adalah sebanyak RM30 senaskhah, manakala kos penghantaran dan pengedaran adalah sebanyak RM8 senaskhah," katanya menambah sebanyak 300,000 naskah al-Quran akan dihantar ke negara seperti India dan Australia, bulan depan.

Sehubungan itu, Mohd Na'im berkata, Yayasan Restu, yang terkenal dengan penghasilan mushaf al-Quran dan penerbitan berkaitan al-Quran dengan reka bentuk eksklusif melancarkan tabung Wakaf Qurani bagi mengumpulkan dana tersebut.

Antara kempen lain yang dilaksanakan ialah pelancaran trak berkontena saiz 20 kaki yang mempunyai pelekat 'Kempen Infak dan Wakaf 1 Juta al-Quran' yang akan menjelajah mengikut zon iaitu Pulau Pinang (zon utara), Negeri Sembilan dan Melaka (zon selatan) dan Pahang (zon timur) dan Selangor (zon tengah). - Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!