Waris pemandu teksi minta henti sebar gambar, video
KUALA TERENGGANU - Keluarga pemandu teksi yang ditemukan meninggal dunia dalam kenderaan berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di Kuala Nerus meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan gambar dan video mangsa di lokasi kejadian.
Isteri mangsa, Noor Azlina Ramli, 41, berkata, dia berharap tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
"Kita harap sangat jasa baik semua supaya berhenti menyebarkan gambar dan video arwah suami saya di lokasi dia ditemui meninggal dunia.
"Saya dan anak-anak masih bersedih dan terkejut dengan kejadian yang berlaku. Saya harap dan berdoa supaya ada keadilan untuk arwah suami," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kubang Parit, di sini pada Jumaat.
Menurut Noor Azlina, dia tidak menyangka kejadian itu menimpa suaminya selepas enam tahun bekerja sebagai pemandu teksi.
Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya itu melalui panggilan telefon kira-kira jam 8 malam pada Khamis dan memberitahu dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan.
"Dah enam tahun dia bawa teksi. Belum pernah berlaku apa-apa yang pelik. Tak sangka pula kali ini dia 'pergi' cepat sangat.
"Kalau ikut pada rutin harian, biasanya dia akan keluar rumah dalam jam 9 pagi sebelum pulang semula jam 1 tengah hari untuk ambil anak pulang dari sekolah.
"Semalam lepas hantar anak (Eliy Syazwani,16) balik sekolah dia keluar kembali untuk ke Kota Bharu sekitar jam 2.30 petang," katanya.
Menurut Noor Azlina, dia hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya itu selepas anak saudara ternampak perkongsian melalui grup aplikasi mudah alih WhatsApp sekitar jam 11.15 malam sebelum dihubungi pihak polis.
"Waktu dapat berita tu saya terkejut dan segera ke lokasi kejadian," katanya.
Sebelum ini media melaporkan seorang pemandu teksi, Mohd Latif Idris, 51, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada badan di tempat duduk penumpang belakang dalam teksi yang dipandunya.
Allahyarham Mohd Latif turut meninggalkan seorang lagi cahaya mata, Muhammad Nasha Fikri, 20, yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Parit pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!