Pas beracun, ancam demokrasi negara, dakwa Mohammad Agus

Mohammad Agus
Mohammad Agus
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi perlu menolak Pas yang didakwa ekstrem dan beracun sehingga boleh mengancam demokrasi, kestabilan politik dan keharmonian kaum dalam negara.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff mendakwa, ini kerana pemikiran pemimpin dan pengikut parti itu tertutup dalam menerima pendapat serta pandangan orang lain.

Dakwa beliau, ada ketikanya, mereka memberi maklum balas di luar kewarasan akal mengenai sesuatu isu.

"Contohnya, kepimpinan Pas di Kelantan mencadangkan rakyatnya menggali telaga apabila mendapat rungutan berhubung masalah air.

"Rakyat merungut air bersih tidak ada, pemimpin parti berkenaan kata air Kelantan banyak, boleh diambil di sungai Kelantan, biarpun airnya keruh macam teh tarik tapi bukan najis dan sah digunakan untuk ambil wuduk," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Menurut Mohammad Agus, beliau mengikuti perjalanan parti itu sejak di universiti pada 1980-an dan mendapati ia bertoksik yang kini sudah beracun sekali gus membahayakan kestabilan serta kemakmuran negara.

"Kita tengok sahaja apabila rakyat Kelantan merungut tentang jalan sesak. Mereka kata apa masalahnya, hanya dua kali setahun sahaja balik bercuti raya.

"Sedihnya jawapan tersebut. Pemimpinnya enggan mengakui kelemahan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya lagi, parti itu juga dilihat menunggang agama apabila mendakwa rakyat yang menyokong Pas akan menuju ke syurga.

"Di Bangi, saya tengok ada sepanduk sedemikian malah pemimpin Pas juga mendakwa bermimpi berjumpa Rasulullah SAW. Penyokong percaya dan menganggap ia sebagai keramat, tidak boleh berfikir betapa ekstremnya sikap mereka terhadap parti berkenaan.

"Raja pun mereka permainkan. Tindakan dan cara berpolitik penyokong Pas jelas bertentangan dengan budaya Melayu. Itulah sebabnya saya tegaskan parti ini beracun dan perlu dijauhi," jelasnya.

Justeru, beliau menasihati pengundi agar tolak parti beracun itu untuk kestabilan politik, keharmonian kaum, keyakinan pelabur dan pembangunan ekonomi.

"Ayuh, bangunkan Malaysia sejahtera, kita sokong pemimpin dan parti yang ada visi untuk negara sekali gus menjaga rakyat. Pemimpin itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

"Kita bangunkan Malaysia Madani sebagai solusi terbaik untuk kesejahteraan dan kemajuan negeri dan negara kita. Kita tolak Pas kerana parti ini beracun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!