Negeri Sembilan umum cuti peristiwa selepas keputusan PRN
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan hanya akan mengumumkan cuti peristiwa selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan pada Sabtu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiada perbincangan mengenainya setakat ini.
"Tak boleh umum sekarang, saya akan umum esok selepas keputusan keluar.
"Tidak mengapalah dia (Selangor) dah umum, Negeri Sembilan Insya-Allah esok (Sabtu) selepas keputusan keluar. Tunggu esok," katanya kepada pemberita selepas solat berjemaah di Surau Jalan Tunku Kurshiah, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat Negeri Sembilan untuk keluar mengundi pada awal pagi kerana keadaan cuaca sekarang tidak menentu.
Aminuddin yang merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat berkata, beliau menyasarkan lebih 80 peratus pengundi yang akan keluar mengundi kali ini.
"Saya harap supaya semua dapat keluar mengundi dengan peratusan yang tinggi kerana ini untuk kita memilih satu kerajaan dan peluang ini tak boleh disia-siakan.
"Petang ini saya nampak ramai yang balik kampung, terima kasih saya ucapkan. Insya-Allah kalau tiada apa-apa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dapat pertahankan kerajaan yang ada, "katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan Isnin ini sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan PH dan BN menang dalam PRN ini.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!