'Dengan rezeki mengurut, anak saya ke universiti'

Bergelar orang buta bukan penghalang Sulaiman menyara keluarga dan mempunyai bisnes sendiri. FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Bergelar orang buta bukan penghalang Sulaiman menyara keluarga dan mempunyai bisnes sendiri. FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak kecil, Sulaiman Abu Bakar dilahirkan dengan masalah penglihatan kabur yang merupakan penyakit keturunan yang dihidapi keluarganya.

Walaupun berdepan masalah rabun mata, dia masih boleh belajar dan bekerja, namun semakin hari, semakin melarat sehinggalah pada usia 27 tahun, semua objek yang ada di depan Sulaiman menjadi 'gelap' selamanya.

Anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu pernah bekerja di sebuah kilang, namun hilang punca pendapatan selepas kehilangan penglihatan.

“Siapa yang mahu ambil orang buta kerja,” luah lelaki tersebut kepada Sinar Harian.

Sebahagian orang ramai yang mendapatkan khidmat urut di tepi jalan yang diusahakan Sulaiman di tengah ibu kota. FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Sebahagian orang ramai yang mendapatkan khidmat urut di tepi jalan yang diusahakan Sulaiman di tengah ibu kota. FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Namun, Sulaiman bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan isteri. Malah, kelahiran puteri sulung turut menjadi pembakar semangat untuknya supaya tidak putus asa.

“Selepas beberapa tahun berdepan kesukaran mencari rezeki, tetapi sekitar tahun 2000, adik sarankan saya ke Brickfields, Kuala Lumpur untuk belajar mengurut.

“Dan hidup saya sekeluarga berubah selepas itu,” kongsi bapa kepada empat orang cahaya mata.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman berjaya membuka perkhidmatan mengurut di Kompleks Damai di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Sulaiman berjaya membuka perkhidmatan mengurut di Kompleks Damai di tengah-tengah Kuala Lumpur. FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Sulaiman berjaya membuka perkhidmatan mengurut di Kompleks Damai di tengah-tengah Kuala Lumpur. FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

“Inilah kedai saya! Rezeki daripada urutan jari-jemari inilah yang telah menampung kehidupan keluarga saya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Daripada bekerja dengan orang sejak tahun 2001 hingga 2007 di Brickfields, saya dan isteri menabung duit sehinggalah boleh membuka kedai urut sendiri sejak tahun 2008,” cerita Sulaiman lagi.

Kata lelaki berusia 52 tahun itu, dia kini sudah boleh turut membantu orang buta lain apabila mempunyai 10 orang pekerja.Menurut Sulaiman walaupun mempunyai kedai sendiri, tapi menjadi rutin hariannya untuk turut membuka gerai urut di tepi jalan pada sebelah malam.

Kata suami kepada Rosnah Hashim itu, pada kebiasaannya pelanggan lebih gemar mengurut kaki di gerai tepi jalan namun memilih di premis kedai jika mahu mengurut seluruh badan kerana disediakan bilik.

Berbual sehingga ke lewat malam, sambil penulis mempotretkan aktiviti hariannya, pada penghujung perbualan kami, kelihatan ada senyuman manis terukir di wajah Sulaiman.

Sulaiman bersama isteri tercinta, Rosnah menghuni sebuah flat di Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Sulaiman bersama isteri tercinta, Rosnah menghuni sebuah flat di Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

“Dengan rezeki mengurut inilah anak sulung (Safiah) menjejak kaki sampai ke Universiti Pendidikan Sultan Idris. Safiah kini berada di Korea menjadi guru bahasa Inggeris.

“Anak ketiga saya Noralia pula sedang belajar di matrikulasi Melaka,” katanya.

Ketika ditanya sampai bila akan terus mengurut, akui Sulaiman kerja ini sudah terlalu sebati dalam dirinya.

“Biarlah saya mengurut selagi ada kudrat.” ujarnya ringkas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!