Skuad terjun berkampung di China sebelum ke Hangzhou 2022
CHINA sekali lagi akan menjadi lokasi fasa terakhir latihan pusat kem terjun negara sebelum menyingkap tirai temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, China, September depan.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low berkata, seramai 12 penerjun negara akan berkampung di negara tersebut untuk tujuan itu.
“Pada 15 Ogos ini, atlet terjun negara akan berada di China untuk latihan pusat hingga 26 Ogos sebelum bergerak ke Hangzhou.
“Ya, kita yakin tempoh masa untuk latihan pusat terakhir ini juga cukup mampu menyediakan skuad yang mantap bagi mengharungi saingan kompetitif di Hangzhou.
“Setakat ini latihan dan persediaan dalam kalangan atlet terjun negara untuk Sukan Asia 2022 berjalan dengan lancar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Difahamkan seramai 16 orang yang terdiri daripada empat jurulatih serta pegawai dan 12 atlet masing-masing lapan penerjun lelaki serta empat penerjun wanita akan ke negara itu.
Mengenai perkembangan terkini Nur Dhabitah Sabri, Andy berkata, penerjun elit negara itu sedang menjalani proses pemulihan kecederaan.
“Dhabitah sedang menjalani rawatan dan masih belum 100 peratus sembuh, kami masih memantau rapi perkembangan dia.
“Mengenai keinginan Dhabitah beraksi dalam acara kegemarannya 10 meter platform, saya menyerahkan kepada jurulatih dan Dhabitah untuk berbincang mencari kesepakatan terbaik.
“Secara kebiasaannya jurulatih sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk anak-anak buahnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!