Perkampungan atas air tertua Eropah ditemui di Albania
LIN - Ahli arkeologi percaya kawasan Tasik Ohrid di Albania yang digelar sebagai 'Mutiara Balkan' pernah menjadi lokasi perkampungan atas air kira-kira 8,000 tahun lalu.
Penemuan itu sekali gus menjadikannya sebagai perkampungan atas air tertua di Eropah setakat ini.
Analisis pentarikhan karbon di tapak tersebut menunjukkan ia dibangunkan antara 6,000 dan 5,800 Sebelum Masihi (SM).
"Ia beberapa ratus tahun lebih tua daripada tapak perkampungan atas air yang diketahui sebelum ini di kawasan Mediterranean dan Alpine," kata Albert Hafner, profesor arkeologo dari Universiti Bern, Switzerland.
Sejak empat tahun lalu, Hafner dan pasukan ahli arkeologi Switzerland serta Albania telah menjalankan penggalian di Lin yang melintasi sempadan pergunungan Macedonia Utara dan Albania.
Penempatan itu dipercayai menempatkan antara 200 dan 500 keluarga dengan rumah dibina di atas tiang di atas permukaan tasik atau di kawasan yang kerap dinaiki air.
Malah, semasa penyelaman ahli arkeologi menemui beribu-ribu papan berduri atau pancang ditanam di dasar tasik yang bertindak sebagai mekanisme pertahanan bagi perkampungan atas air tersebut.
Tasik Ohrid adalah salah satu tasik tertua di dunia dan telah wujud selama lebih daripada sejuta tahun. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!