Majlis Senator Malaysia tak setuju bawa masuk BTS
KUALA LUMPUR - Majlis Senator Malaysia sebulat suara tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berhasrat membawa kumpulan penyanyi popular dari Korea Selatan iaitu BTS ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Presidennya, Datuk Seri Khairudin E.S Abd Samad berkata cadangan itu dilihat kurang bijak dalam mempromosikan kepelbagaian budaya tempatan termasuklah industri muzik kepada pelancong asing.
"Dasar kita (kerajaan) sekarang adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada orang tempatan, maka, kita juga perlu menumpukan kepada artis-artis tempatan...jadi mengapa perlu bawa artis daripada luar negara kerana itu tidak wajar untuk promosi budaya kita sempena tahun melawat Malaysia.
"Kita nak memperkenalkan negara kita, seharusnya kita mempelbagaikan lagi segalanya daripada penggiat-penggiat tempatan, termasuk artis-artis tempatan," katanya selepas menghadiri persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.
Tambahnya, perkara ini akan dikemukakan terus kepada pihak kementerian yang terlibat, terutamanya Kementerian Belia dan Sukan, dalam masa terdekat.
April lepas, Syed Saddiq dilaporkan berkata dengan kedatangan BTS, ia mampu menarik lebih ramai pelancong asing dan dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan buat negara serta mengubah trend agar Malaysia menjadi pilihan destinasi konsert antarabangsa.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!