Angkara kerbau melintas, lima kenderaan terlibat kemalangan

Kenderaan remuk akibat kemalangan di KM200 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dalam kejadian awal pagi Sabtu. - Foto JBPM PERAK
Kenderaan remuk akibat kemalangan di KM200 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dalam kejadian awal pagi Sabtu. - Foto JBPM PERAK
A
A
A

BAGAN SERAI - Lima kenderaan terlibat kemalangan angkara seekor kerbau melintas di Kilometer 200 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dalam kejadian awal pagi Sabtu.

Kejadian berlaku apabila kenderaan pertama iaitu Perodua Myvi melanggar seekor kerbau berkenaan sebelum beberapa kenderaan lain iaitu Honda HRV, Proton Satria Neo, Perodua Alza dan Toyota Yaris berlanggar antara satu sama lain.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 3.52 pagi sebelum sepasukan anggota seramai lapan orang bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, seramai lima individu mengalami kecederaan iaitu empat daripadanya berada di dalam kenderaan Perodua Myvi dan seorang lagi daripada kenderaan Honda HRV manakala mangsa kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat mengaplikasikan konsep saver dan memastikan tiada mangsa yang tersepit akibat kemalangan tersebut. Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menggunakan tiga ambulans untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Muhammad Shafarie berkata, kesemua kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.10 pagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!