Moyang 88 tahun gagahkan diri keluar mengundi
KEPALA BATAS - Meskipun kudrat tidak sekuat dahulu, seorang warga emas, Asa Hashim, 88, tetap menggagahkan diri untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Sabtu.
Asa yang hadir ditemani anak lelaki, Azmi Md Noor, 53, terpaksa menggunakan kerusi roda dan menjadi antara kelompok awal membuang undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus dekat sini.
Azmi berkata, ibunya semangat untuk mengundi dan telah bersiap seusai solat subuh pada jam 6.30 pagi.
"Dari kelmarin lagi, dia dah sebut-sebut tak sabar nak mengundi. Teruja sangat hinggakan habis solat pagi tadi, terus minta dihantar ke sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Azmi berkata, ibunya yang kini mempunyai tiga piut masih sihat dan mampu berjalan sendiri dengan bantuan tongkat.
"Setahu saya, sepanjang tempoh pilihan raya ni, tak pernah lagi dia tak keluar mengundi.
"Dia selalu pesan kepada anak cucu bahawa mengundi ini tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk negara, selagi mampu kenalah tunaikan," katanya.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!