Petanda positif sebelum ke Hangzhou 2022 - Arul

Malaysian Tigers mara ke perlawanan akhir kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia selepas menewaskan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat. - Foto Asia Hockey Federation
Malaysian Tigers mara ke perlawanan akhir kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia selepas menewaskan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat. - Foto Asia Hockey Federation
A
A
A

KEJAYAAN skuad hoki negara melangkah ke perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia disifatkan sebagai petanda positif sebelum menyingkap cabaran di Sukan Asia Hangzhou 2022, China pada September depan.

Malah pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, kejayaan mara ke perlawanan akhir buat pertama kali sepanjang enam penampilan dari tujuh edisi kejuaraan membuktikan anak buahnya berada dalam fasa persediaan terbaik ke temasya sukan terbesar Asia tersebut.

"Sejujurnya kejayaan mengatasi Korea Selatan juga sebenarnya meningkatkan kemajuan dalam penambahbaikan semasa pasukan di sepanjang kejuaraan ini.

"Skuad negara kini mempunyai kelebihan untuk menjaringkan gol bukan sahaja jaringan pukulan sudut penalti tetapi juga gol padang.

"Sesuatu yang memuaskan hati saya, jaringan padang pasukan negara setakat ini adalah yang tertinggi dalam kejuaraan ini.

"Satu mesej yang cukup amat positif apabila pasukan negara berada pada tahap konsisten untuk menjaringkan gol menerusi gol padang dan gol pukulan sudut penalti," kata Arul selepas perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysian Tigers sekali lagi akan berdepan pasukan tuan rumah India dalam perlawanan akhir pada Sabtu.

India pasukan paling berjaya dengan tiga kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia sebelum ini mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas membelasah Jepun, 5-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, angkatan Arul berstatus nombor sembilan dunia tewas 0-5 kepada pasukan keempat terbaik dunia tersebut, yang melakukan 'pemanas badan' dalam saingan Pro Legue, pada saingan liga sepusingan 6 Ogos lalu.

Pencapaian terbaik Malaysian Tigers di kejuaraan yang mengumpul jagoan hoki benua Asia tersebut adalah tempat ketiga terbaik sebanyak lima kali - edisi China 2011, Qatar 2012, Jepun 2013, Malaysia 2016 dan Oman 2018.

Malaysian Tigers melangkah ke perlawanan akhir selepas mengatasi Korea Selatan, 6-2 dalam aksi separuh akhir di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India pada Jumaat.

Motivasi kemenangan 1-0 ke atas pasukan nombor 10 dunia tersebut di saingan liga sepusingan pada Rabu bagaimanapun dikejutkan jaringan awal gol padang Ji Woo Cheon pada minit kedua.

Namun Malaysian Tigers yang bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal minit ketiga.

Najmi Farizal kemudiannya tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan bagi memimpin perlawanan sebelum pukulan sudut penalti Jang Jonghyun pada minit ke-14 kembali mengikat perlawanan.

Tersentak dari lamunan, anak buah Arul memperkemaskan permainan tampil semula memimpin perlawanan menerusi sentuhan pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-19.

Najmi Farizal kemudiannya menambah koleksi gol kedua peribadi pada minit ke-21 hasil pukulan sudut penalti bagi kedudukan 4-2 separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Malaysian Tigers yang bagaikan dahagakan jaringan mengasak hebat kubu Korea Selatan bagi melebarkan jaringan.

Hasilnya, Shello Silverius tampil menjelmakan dua gol padang pada minit ke-47 dan 48 untuk memastikan kedudukan 6-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!