Amirudin bangun awal, naik vespa ke pusat undi
SELAYANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad hadir ke pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Selayang Baru dengan menunggang motosikal vespa.
Beliau tiba pada jam 8.23 pagi sebelum selesai membuang undi di saluran lima jam 8.40 pagi.
Amirudin berkata, beliau memilih untuk menunggang motosikal bagi memudahkannya meninjau pusat pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan mengelak kesesakan.
Ditanya mengenai perasaan beliau pada hari pengundian, beliau hanya berserah kepada ALLAH SWT selepas berusaha.
"Saya bangun cepat, isteri kejut, sempat solat berjemaah.
"Sama-sama berdoa harap menang, kita sudah berusaha 12 hari berkempen dan hari ini menentukan masa depan negeri-negeri," katanya pada Sabtu.
Beliau bagaimanapun optimis sehingga 80 peratus untuk Pakatan Harapan (PH) menang dan membentuk kerajaan negeri.
"Saya harap undi meningkat khususnya daripada undi Melayu supaya kita dapat 'secure' 40 ke 41 kerusi.
"Saya seru pengundi ambil kesempatan untuk keluar awal dan elakkan keluar petang kerana bimbang jika keadaan cuaca tidak mengizinkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!