PRN: Tok Mat puji kempen jentera PH-BN, PN
REMBAU - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memuji jentera Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menjalankan kempen pilihan raya negeri (PRN) secara sihat.
Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, sikap hormat-menghormati antara satu sama lain sepanjang tempoh berkempen juga manifestasi kepada politik matang.
"Tidak ada kecam-mengecam, cuma masing-masing minta dan rayu supaya pengundi memberikan undi kepada mereka (calon).
"Saya rasa perkara ini satu benda yang sihat, di tempat lain saya tidak tahu (tetapi) dikhabarkan panas. Yang penting bukan masa 14 hari (kempen) itu tetapi selepas PRN nanti," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Rantau pada Sabtu.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan hadir bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin kira-kira jam 8.35 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan proses pengundian berjalan lancar dan tiada kesesakan berlaku.
"Syukur keadaan tak kelam kabut kerana kita uruskan PRN dengan baik dan pejabat-pejabat parti juga terletak jauh dari tempat mengundi, jadi tak ada kelam kabut di tepi pagar dan sebagainya.
"Saya harap supaya semua pengundi-pengundi datang seawal boleh kerana cuaca sebelah petang tak menentu," ujarnya.
Kerusi DUN Rantau menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohamad dan calon PN, Rozmal Malakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!