'Saya nak rehat dan tidur'- Altimet
AMPANG - Selepas 14 hari tempoh berkempen sempena pilihan raya negeri (PRN), calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau dikenali sebagai Altimet, 45, mengakui perkara itu amat memenatkan.
Menurutnya, selepas proses pengundian selesai dia akan berehat selama satu hari.
Menurut penyanyi itu, setiap lapisan masyarakat perlu melaksanakan tugas dengan keluar mengundi di kawasan masing-masing.
"Saya penat tapi kena jalankan tanggungjawab sebab lepas ini saya akan ambil cuti satu hari untuk tidur.
"Kita mengharapkan lebih ramai pengundi dapat hadir bersama-sama untuk jalankan kewajipan sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat pada Sabtu.
Pada 22 Julai lalu, Altimet membuat kejutan apabila diumumkan bertanding kerusi DUN Lembah Jaya oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Altimet berhadapan dengan calon Perikatan Nasional, Sharifah Haslizah.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai mula memenuhi barisan di Pusat Pengundian SMK Seri Keramat sejak jam 7 pagi ini.
Mereka yang hadir awal pagi adalah untuk mengelak kesesakan di kawasan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!