City belum berada dalam prestasi terbaik
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan pasukan kendaliannya belum berada dalam prestasi terbaik walaupun berjaya melakar kemenangan 3-0 ke atas Burnley dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Sabtu.
Menurutnya, City masih dibayangi tempoh persiapan yang singkat sebelum musim baharu bermula, namun beliau teruja mentaliti luar biasa yang ditunjukkan pemainnya.
“Kami masih jauh daripada prestasi terbaik tetapi kami perlu cuba untuk tidak kehilangan mata dalam tempoh ini dengan jumlah perlawanan yang ada.
“Bagaimana anda menyelesaikan kekurangan persediaan ini adalah soal mentaliti. Kami bernasib baik berada di hadapan dengan gol daripada Erling (Haaland)," katanya.
Dalam perlawanan itu, Haaland tampil agresif meledak dua gol pada minit ke-4 dan ke-36 manakala Rodrigo mencetak gol ketiga pada minit ke-75 untuk melengkapkan kemenangan bergaya City.
Namun, Guardiola mengakui ia sesuatu yang amat sukar terutama apabila berdepan pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke EPL seperti Burnley.
“Perlawanan pertama di tempat lawan menentang pasukan yang baru dinaikkan pangkat dengan semangat yang mereka ada untuk kembali ke Liga Perdana, sentiasa menjadi sangat rumit.
“Mereka memberikan saingan sengit kepada kami namun kami menunjukkan mentaliti yang baik untuk menang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!