PRN: Datang awal untuk beri contoh kepada anak muda
REMBAU - Meskipun pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua di Rantau dibuka pada jam 8 pagi, kelihatan ramai masyarakat tempatan sudah menunggu di luar pagar sekolah untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Antaranya seorang pesara, Abdul Rahim Mohd Taib, 68, yang hadir pada jam 7 pagi.
Menurut bapa kepada lima cahaya mata ini, dia hadir ke pusat pengundian lebih awal kerana mahu menjadi contoh bukan hanya kepada anaknya, malah golongan muda dan penduduk kampung.
"Dari semalam (Jumaat) saya rasa teruja untuk mengundi. Pagi tadi lepas solat Subuh, saya terus datang ke sini, pergi makan dulu di kedai berdekatan.
"Dalam 7.30 pagi, saya beratur di depan sekolah dan jadi antara paling awal selesai mengundi. Selepas ini, nak suruh anak pula keluar (mengundi) sebab kami tak boleh keluar bersama, nanti tiada orang jaga rumah," katanya.
Bagi seorang pelajar, Asmira Maisarah Mohd Syukri, 19, dia juga tiba awal bagi menunaikan tanggungjawabnya sebelum bergegas ke pusat mengundi lain.
"Saya jaga tempat mengundi, itu yang datang awal. Selepas ini, saya terus bertugas di Mambau.
"Pada pilihan raya sebelum ini tidaklah begitu awal (datang mengundi) tetapi hari ini terpaksa datang awal atas urusan kerja," jelasnya.
Oleh kerana tuntutan kerja juga, Chua Yung Kang, 38, turut hadir seawal jam 7 pagi di sekolah berkenaan.
"Saya kerja di Balakong (Selangor) dan perjalanan mengambil masa satu jam dari sini (Rantau). Itu yang saya datang awal untuk mengundi.
"Lagipun sampai awal, tenang sikit kerana orang belum ramai. Dalam keadaan Covid-19 yang masih ada, risau juga kan," katanya.
Kerusi DUN Rantau menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!