DBKL sedia beri kerjasama
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan seorang pegawai kanannya direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes menerima dan memberi wang rasuah.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisyam Ahmad Dahlan berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada SPRM bagi membantu siasatan membabitkan timbalan pengarah sebuah jabatan organisasi berkenaan.
Menurutnya, dalam masa sama DBKL akan terus meningkatkan takbir urus yang baik dengan memastikan setiap kakitangannya lebih beretika bagi mengekang berlaku salah laku pada masa akan datang.
“Pegawai ditahan bagi membantu siasatan belum disabitkan kesalahan. Bagaimanapun DBKL tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang terbabit rasuah.
“Tindakan diambil terhadap mana-mana penjawat awam mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan seorang pegawai kanan DBKL direman lima hari bersama empat lagi orang awam bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima dan memberi wang rasuah bernilai RM200,000.
ARTIKEL BERKAITAN:Timbalan pengarah kanan jabatan DBKL, empat orang awam direman lima hari
Kelima-lima individu yang berumur 41 tahun hingga 57 tahun itu dikatakan ditahan SPRM di sebuah restoran di Kuala Lumpur antara jam 12 dan 12.30 tengah malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber SPRM, berdasarkan siasatan awal, pegawai kanan DBKL itu menerima wang berjumlah RM200,000 daripada beberapa kontraktor sebagai balasan memberikan kerja tambah baik infrastruktur di bawah seliaannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!