Tun M seru keluar mengundi, tentukan kerajaan negeri
ANAK BUKIT - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan orang ramai agar keluar mengundi kerana ia penting dalam menentukan kerajaan di peringkat negeri.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan yang dibentuk disifatkan tidak harmoni, rakyat yang akan menerima akibatnya dan menderita selama satu penggal.
Menurutnya, disebabkan itu, rakyat harus mengetepikan sikap tidak endah untuk keluar mengundi demi masa depan negara.
“Pilihan raya ini penting. Kalau orang tak keluar mengundi, dia tak boleh tentukan siapa yang jadi kerajaan. Dahulu (PRU15) ramai sikit, kali ini tak berapa ramai. Kadang-kadang orang tak ambil berat.
“Sepatutnya ramai keluar (mengundi) sebab untuk tentukan masa depan mereka, cuma kadang-kadang (mereka) bosan, kononnya kalau undi pun tak jadi apa. Ini perasaan tak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit pada Sabtu.
Dr Mahathir hadir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan kedua-kedua tokoh negara itu selesai membuang undi pada jam 9.22 pagi.
Negarawan itu tetap melaksanakan tanggungjawab mengundi untuk pilihan raya negeri (PRN) walaupun baru selesai menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) minggu lalu.
Dr Mahathir bagaimanapun memaklumkan, kesihatannya sudah pulih setelah mengalami demam sebelum dimasukkan ke IJN.
“Kesihatan saya okay, saya demam sedikit tetapi doktor saya selalu desak saya supaya pergi ke hospital. Saya tidak mahu ke hospital kerana saya merasakan duduk di rumah pun boleh dirawat.
“Mereka desak saya perlu ke hospital jadi saya ke sana dua kali seminggu dan selepas itu keluar. Saya baik sekarang,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!