Caicedo dalam dilema pilih Liverpool atau Chelsea
CHELSEA dan Liverpool sedang bersaing untuk mendapatkan tandatangan Moises Caicedo dari Brighton sebelum mereka bertemu di Stamford Bridge dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris pada Ahad.
Pemain Ecuador itu bakal menjadi pemain termahal dalam sejarah bola sepak Inggeris melalui nilai pembelian tinggi yang ditawarkan kedua-dua kelab kepada pemain berusia 21 tahun itu.
Liverpool telah bersetuju dengan perjanjian £110 juta (RM640 juta) dengan Brighton, tetapi pemain itu dipercayai masih mahukan perpindahan ke Chelsea.
The Blues pula gagal memenuhi nilai yang ditawarkan oleh Liverpool, namun mereka tetap mahukan Caicedo susulan krisis kekurangan pemain di bahagian tengah.
The Reds juga memerlukan pemain tengah baharu selepas kehilangan kapten Jordan Henderson, Fabinho, James Milner, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain sejak akhir musim lalu.
“Jelas sekali apabila ramai pemain pergi termasuk kapten (Handerson), naib kapten anda juga akan pergi. Pada masa ini, hanya terdapat dua pemain yang masuk... saya dapat memahami sesetengah orang mempunyai keraguan terhadap keupayaan kami,” kata pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk.
Skuad kendalian Jurgen Klopp terlepas saingan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tujuh musim selepas menduduki tempat kelima dalam Liga Perdana musim lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!