'Nak undi siapa lagi...' - Shabudin Md Nor
SIK - [DIKEMAS KINI] Abang kepada Menteri Besar Kedah, Shabudin Md Nor tidak melepaskan peluang hadir awal pagi bagi menunaikan tanggungjawab.
Shabudin tiba sekitar jam 8.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya sebelum selesai membuang undi sekitar jam 8.45 pagi.
Menurutnya, kesemua 13 beradiknya juga akan mengundi di lokasi yang sama untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi.
"Saya datang mestilah untuk sokong adik saya (Sanusi).
"Gelombang PN cukup memberangsangkan kalau tengok kawasan sebelah sana (parti lawan) boleh kira 50-50 tapi sekarang mungkin tipis," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di sini pada Sabtu.
Shabudin antara individu yang terpalit dengan serangan politik Menteri Besar Kedah itu apabila kediamannya yang didakwa milik Sanusi menjadi sasaran pihak lawan.
Ujar Shabudin, perkara itu tidak memberi sebarang kesan terhadap diri dan kerjayanya.
"Tentang rumah saya itu saya okey sajalah... saya dah biasa hidup dalam keadaan tekanan. Kerja saya yang dalam air pun (minyak dan gas) dah biasa dengan tekanan," jawabnya ringkas.
Tambah Shabudin, ibu dan bapanya juga dijangka hadir untuk mengundi Muhammad Sanusi di lokasi sama.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berdepan dengan pesaingnya, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mewakili Barisan Nasional. - Awani
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!