PRN: Lelaki sindrom Down teruja keluar mengundi

SEKINCHAN, 12 Ogos -- Pengundi yang menghidap Sindrom Down, Lim Wei Hoong, 33, menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas menunaikan tanggungjawabnya mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Sekinchan sempena Pilihan Raya Negeri Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan hari ini.
-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
SEKINCHAN, 12 Ogos -- Pengundi yang menghidap Sindrom Down, Lim Wei Hoong, 33, menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas menunaikan tanggungjawabnya mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Sekinchan sempena Pilihan Raya Negeri Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan hari ini. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

SEKINCHAN - Meskipun kurang upaya, seorang lelaki sindrom Down teruja dan gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hari ini.

Lim Wei Hoong, 33, mengundi di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, di sini pada 9 pagi bersama-sama dua adik perempuannya.

"Saya sangat happy (gembira),” katanya yang ditemui Bernama di pusat mengundi berkenaan.

Seorang daripada adik perempuan Wei Hoong yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, ini merupakan kali kedua abangnya mengundi.

"Dari semalam lagi dia (Wei Hoong) sudah bertanya mengundi di mana dan pukul berapa mahu pergi mengundi. Hari ini dia bangun sangat awal.

"Kami tidak mengajarnya cara mengundi kerana dia memang tahu bagaimana caranya. Dia juga mempunyai calon pilihannya sendiri,” katanya.

Pada PRN hari ini, kerusi DUN Sekinchan menyaksikan saingan satu lawan satu antara penyandangnya Ng Suee Lim daripada Pakatan Harapan dan Datuk Goh Gaik Meng daripada Perikatan Nasional.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, seorang lagi pengundi sindrom Down, Rubee Nur Amirah Ahmad, 30, turut bersemangat menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dan Parlimen Kuala Terengganu.

"Seronok. Saya tak sabar nak tunjuk jari berdakwat kepada cikgu di sekolah," katanya kepada Bernama di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga.

Ibunya, Rabiah Ismail, 60, berkata, walaupun Rubee Nur Amirah yang mesra dipanggil Kak Mi tidak memahami proses mengundi dan sistem pilihan raya, dia teruja untuk bersiap awal pagi tadi.

"Kami galakkan Kak Mi (mengundi), tidak kisah sama ada dia orang kurang upaya atau tidak kerana satu undi itu penting untuk masa depan negeri dan negara.

"Ini kali kedua Kak Mi mengundi, yang pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas," kata Rabiah dan menambah anaknya mengundi di saluran satu.

Pada PRN Terengganu, kerusi DUN Wakaf Mempelam menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang Wan Sukairi Wan Abdullah daripada Pas dan Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali daripada PKR.

Bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada Pas menentang Azan Ismail (PKR) selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 atas dakwaan wujud elemen rasuah sewaktu berkempen. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!